Naza Automotive Manufacturing (NAM) mengumumkan telah memulakan operasi eksport serantau. Malah kumpulan pertama model Peugeot 3008 yang dipasang di kilangnya di Gurun, Kedah, sedang dalam perjalanan ke Filipina dan dijangka tiba pada penghujung bulan ini.

Peugeot 3008 untuk pasaran Malaysia pada masa ini adalah unit import sepenuhnya, dengan menawarkan dua varian – Active THP dan Allure THP. Kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter THP 165 S&S pengecas turbo empat-silinder, yang mampu memberikan output sejumlah 165 hp dan tork 240 Nm, dengan dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

Filipina merupakan negara ASEAN pertama yang menerima kenderaan yang diproduksikan oleh NAM di bawah AFTA, ujar Noël, CEO Naza Automotive Manufacturing, sambil menambah lebih banyak kereta yang akan dieksport ke lain-lain negara ASEAN dalam masa terdekat ini.

Groupe PSA dan Naza Corporation Holdings telah memeterai perjanjian perkongsian jualan dan kerjasama untuk operasi kilang NAM di Gurun, menjadikannya hab pembuatan pertama di rantau ini bagi pengeluar kereta Perancis tersebut. Menerusi perjanjian itu, Groupe PSA mempunyai pegangan saham sebanyak 56%.

Peugeot 3008 merupakan model berasaskan EMP2 pertama yang diproduksi di kilang Gurun, dan bakal disertai oleh Peugeot 5008 1.6 THP, bersama dengan 3008 pemasangan tempatan. Ini membuatkan kilang terbabit disasarkan mampu menghasilkan sejumlah lebih 4,000 unit menjelang tahun 2023 untuk dieksport ke Filipina, menurut Noël. Bagi pasaran Filipina, model-model terbabit akan melibatkan unit pemanduan sebelah kiri.

Sehingga Februari lalu, kilang NAM mempunyai 450 orang tenaga kerja dan kapasiti pengeluarannya boleh mencecah 50,000 unit setahun. Dengan aktiviti eksport PSA untuk rantau ini, jumlah yang disasarkan oleh NAM adalah 18,000 unit bagi tahun ini dan 21,000 unit pada 2020.