Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, tempahan bagi Peugeot 3008 telah pun dibuka sejak bulan lalu. Namun ia baru sahaja dilancarkan pagi ini dengan menawarkan dua varian iaitu Active THP dan Allure THP.

Kedua-dua varian ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam-kelajuan bersama Tiptronic dan mod Sport, dengan hamburan kuasa 165 hp dan tork 240 Nm. Kuasa pacuan disalurkan ke roda hadapan dan SUV ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 211 km/j yang dikatakan terbaik dalam kelasnya.

Enjin ini juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien dengan catatan 7.0 liter bagi setiap 100 km. SUV ini dibina dengan menggunakan platform Efficient Modular Platform (EMP2) yang sama dengan model 308 terkini.

Bagi ketegaran sistem suspensinya, 3008 2017 ini digandingkan dengan topang Independent MacPherson dan palang anti-olengan ‘drop link‘ untuk bahagian hadapan serta gandar Deformable U-shaped cross member untuk bahagian belakang. Tetapan ini mampu memberikan kemantapan pengendalian yang lebih optimum.

Pembaharuannya banyak dilakukan pada bahagian luaran dan dalamannya, nampak lebih elegan, kontemporari dan bergaya berbanding model sebelumnya. Bagi varian Active THP, ia menampilkan lampu utama halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus halogen dan lampu belakang LED halogen dengan ‘efek kuku singa’ dan roda aloi ‘Los Angeles’ 18-inci yang dibaluti tayar Continental ContiCrossContact LX2 tyres (225/55).

Bagi Allure THP iaitu varian dengan spesifikasi tertinggi, pastinya menerima lebih banyak elemen menarik termasuk lampu utama LED penuh dengan lampu nyalaan siang LED, dan lampu membelok jujukan serta pakej luaran GT Line. Selain itu, ia turut menampilkan gril yang berlainan bersama pelindung bampar hadapan dicat dengan warna perak dan kemasan krom pula menghiasi seksyen bawah pada bahagian sisi varian ini.

Menjengah bahagian kabinnya, kedua-dua varian dilengkapi dengan Peugeot i-Cockpit berserta rekaan yang lebih bergaya terutamanya jelas kelihatan pada suis ala piano, roda stereng berbentuk segi empat tepat dan tuil gear yang direka menarik. Malah ia juga menampilkan butang dial rotary Advanced Grip Control (terletak di sebelah butang kawalan menurun bukit) yang membenarkan pemandu memilih lima mod pemanduan.

Selain itu, ia juga menampilkan banyak elemen teknologi termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, dengan paparan definisi tinggi yang memaparkan informasi pemanduan. Malahan turut mengetengahkan skrin sesentuh lapan-inci pada papan pemuka yang menyalurkan infotaimen serta kawalan suhu dwi-zon (dengan corong belakang).

Ia juga menawarkan elemen termasuk sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink. Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuklah sambungan Bluetooth dan USB, brek parkir elektronik serta sistem bunyi 3D Arkamys bersama enam pembesar suara.

Memiliki kekemasan yang sedikit berbeza pada Allure dengan menampilkan tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa lapan-hala untuk tempat duduk pemandu. Manakala varian Active THP dilengkapi dengan tempat duduk fabrik Mistral Meco dengan operasi manual untuk tempat duduk hadapan. Bagi ruang butnya pula, ia berkapasiti 520 liter, namun dapat dipertingkatkan sehingga 1,670 liter sekiranya tempat duduk belakang yang memiliki fungsi ‘Magic Flat’ dibaringkan secara rata.

Untuk aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, kawalan Cengkaman, Kawalan Kestabilan Dinamik, Program Kestabilan Elektronik, Bantuan Mendaki Bukit, Bantuan Kekal Lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang serta kamera undur. Dengan elemen keselamatan yang dianggap lengkap ini turut membolehkan 3008 2017 menerima penarafan lima-bintang dari Program Penilaian Kenderaan Baharu Australia (ANCAP).

Bagi Active THP, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM142,888 tanpa insurans, manakala RM155,888 bagi Allure THP. Harga ini adalah termasuk waranti lima-tahun/120,000 km serta servis 24 jam Peugeot Assistance. Ia turut menawarkan lima pilihan warna menarik iaitu Metallic Copper, Magnetic Blue, Amazonite Grey, Ultimate Red dan Pearl White. Walau bagaimana pun, dua warna pilihan terakhir itu dikenakan kos tambahan sebanyak RM1,590 bagi SUV yang diimport sepenuhnya ini.

Anda juga boleh melihat spesifikasi lanjut berkenaan Peugeot 3008 baru ini di CarBase.my dan membandingkannya dengan kenderaan lain untuk membuat pilihan. Lihat juga video pandangan awal 3008 yang dilakukan oleh Hazril Hafiz semasa mendekati model ini di pusat pameran.

GALERI: Peugeot 3008 Allure THP

GALERI: Peugeot 3008 Active THP