Selepas pernah dikesan sedang diangkut di atas treler dan juga beberapa kali perkhabarannya yang akan tiba di Malaysia, kini Peugeot 3008 baharu telah pun muncul di bilik pameran Glenmarie. Dua varian ditawarkan, iaitu Active THP dan Allure THP, 3008 ini masih belum dilancarkan secara rasminya, namun tempahannya telah mula dibuka.

Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai penampilan dan sudut mekanikalnya, pasti perkara pertama yang anda ingin tahu ialah harganya. Bagi Active THP, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM142,888 tanpa insurans, diikuti dengan Allure THP pula RM155,888.

Harga ini adalah termasuk waranti lima-tahun/120,000 km serta servis 24 jam Peugeot Assistance. Ia turut menawarkan lima pilihan warna menarik iaitu Metallic Copper, Magnetic Blue, Amazonite Grey, Ultimate Red dan Pearl White. Walau bagaimana pun, dua warna pilihan terakhir itu dikenakan kos tambahan sebanyak RM1,590 bagi SUV yang sepenuhnya diimport ini.

Kedua-dua varian dijanakan oleh enjin petrol 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam-kelajuan yang sama, dengan hamburan kuasa 165 hp dan tork 240 Nm. Kuasa pacuan disalurkan ke roda hadapan dan SUV ini dibina dengan menggunakan platform Efficient Modular Platform (EMP2) yang sama dengan model 308 terkini.

Bagi elemen luarannya, kita bermula dengan varian Active THP di mana ia menampilkan roda aloi ‘Los Angeles’ 18-inci yang dibaluti tayar Continental ContiCrossContact LX2 tyres (225/55), lampu utama halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus halogen dan lampu belakang LED halogen ‘efek kuku singa’.

Manakala bagi Allure THP pula, pastinya menerima lebih banyak elemen menarik termasuk lampu utama LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang LED, dan lampu membelok jujukan serta pakej luaran GT Line, serta gril yang berlainan dengan pelindung bampar hadapan dicat dengan warna perak dan kekemasan krom pula menghiasi seksyen bawah pada bahagian sisi varian ini.

Kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Peugeot i-Cockpit, serta kekemasan kulit dan gentian karbon tiruan (bagi Active THP) dan fabrik (untuk Allure THP). Rekaan yang lebih bergaya jelas kelihatan pada suis ala piano, roda stereng berbentuk segi empat tepat dan tuil gear yang direka menarik. Malah ia juga menampilkan butang dial rotari Advanced Grip Control (terletak di sebelah butang kawalan menurun bukit) yang membenarkan pemandu memilih lima mod pemanduan.

Malah ia juga menampilkan banyak elemen teknologi termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, dengan paparan definisi tinggi yang memaparkan informasi pemanduan. Selain itu, skrin sesentuh lapan-inci pada papan pemuka yang menyalurkan infotaimen serta kawalan suhu dwi-zon (dengan corong belakang). Ia juga menawarkan elemen termasuk sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink.

Memiliki kekemasan yang sedikit berbeza pada Allure dengan menampilkan tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa lapan-hala untuk tempat duduk pemandu. Manakala varian Active THP dilengkapi dengan tempat duduk fabrik Mistral Meco dengan operasi manual untuk tempat duduk hadapan.

Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, kawalan cengkaman, Kawalan Kestabilan Dinamik, program Kestabilan Elektronik, Bantuan Mendaki Bukit, bantuan kekal lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

GALERI: Peugeot 3008 Allure THP

GALERI: Peugeot 3008 Active THP