Peugeot 3008 generasi kedua kini sudah dilihat di Malaysia, tetapi jangan menjangkakan ia akan berada di pusat pameran dalam masa terdekat ini. Sebabnya adalah, model yang ditemui ini menggunakan nombor pendaftaran Perancis, dan kemungkinan besar adalah unit panduan sebelah kiri yang dihantar untuk tujuan latihan dan penilaian di negara kita.

SUV yang baru diangkat sebagai European Car of the Year ini dijangka membuat penampilan rasmi di Malaysia pada suku kedua tahun ini, dan akan ditawarkan dalam beberapa varian, namun enjin yang sama iaitu unit 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam kelajuan.

Varian yang akan ditawarkan belum diumumkan untuk pasaran negara kita, tetapi Nasim mungkin akan menjual kereta ini dengan varian Allure, seperti yang dilihat pada model yang ditemui ini. Varian ini adalah varian pertengahan yang terdapat pada kenderaan ini, manakala varian GT Line dan GT berada lebih atas.

Harga juga masih belum ada, tetapi berdasarkan laporan tahun lepas, ia dijangka lebih tinggi berbanding RM159,000 yang ditetapkan pada model facelift generasi pertama sekarang. Pembeli boleh menjangka terdapat bahagian dalam yang bergaya, bahan lebih premium dan papan pemuka i-Cockpit.

Kelengkapan utama lain yang ada pada SUV ini adalah skrin resolusi tinggi 12.3 inci yang juga digunakan sebagai paparan meter, skrin sesentuh lapan inci di tengah dan suis lebih elegan yang mengawal fungsi utama seperti radio, pengawal suhu, navigasi, informasi kenderaan, telefon dan aplikasi mudah alih.

Spesifikasi penuh untuk model pasaran Malaysia masih belum diberitahu tetapi di pasaran lain, SUV ini mempunyai bumbung panoramik dan penutup but bebas tangan, manakala kelengkapan pilihan tambahan juga meluas termasuk sistem audio Focal Premium 10 pembesar suara dan Driver Sport Pack. Ketibaan semua ciri ini masih perlu ditunggu oleh pengumuman Nasim.

GALERI: Peugeot 3008