Enjin 5-silinder Audi akan bertahan paling kurang 10 tahun lagi walaupun diancam standard emisi ketat

Enjin 5-silinder Audi akan bertahan paling kurang 10 tahun lagi walaupun diancam standard emisi ketat

Kerana undang-undang emisi yang semakin ketat, enjin-enjin ikonik bersaiz besar dari pelbagai pengeluar secara beransur-ansur telah ditamatkan untuk memberikan laluan kepada enjin-enjin yang lebih rasional seperti empat- dan tiga-silinder, bagi memenuhi undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat.

Sebagai contoh, Volvo telah menggantikan enjin lima-silinder mereka dengan enjin 2.0 liter empat silinder Drive-E, manakala Volkswagen tidak lagi menghasilkan generasi baharu enjin VR6 mereka. Audi walau bagaimanapun masih lagi mempunyai enjin lima-silinder yang menjana model-model baharu di bilik pameran.

Menurut jenama Jerman tersebut, walaupun trend terkini menyaksikan hampir semua pengeluar sibuk untuk menghasilkan unit janakuasa dengan teknologi elektrik, mereka akan tetap mempertahankan enjin lima-silinder untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 10-tahun lagi. lapor Which Car.

Audi terkenal dengan enjin lima-silinder ini sejak dari era 80’an lagi, di mana jentera rali produksi dan WRC mereka – Audi Quattro – dijana oleh enjin yang menghasilkan bunyi tersendiri berkenaan. Buat masa sekarang, Audi TT RS dan RS3 Sportback adalah model terbaharu Audi yang masih dikuasakan oleh enjin 2.5 liter lima-silinder bersama pengecas turbo.

Enjin 5-silinder Audi akan bertahan paling kurang 10 tahun lagi walaupun diancam standard emisi ketat

Menurut bos Audi Sport, Oliver Hoffman, enjin dengan kod DNWA tersebut akan terus termasuk dalam rancangan masa hadapan Audi, terutamanya untuk divisi prestasi tinggi mereka.

“Ia agak sukar (untuk mengekalkan enjin ini dalam produksi), tetapi ia bukan sekadar persoalan berapa susah. Untuk (undang-undang emisi) EU7 kami sudah pun mempunyai konsep untuk semua enjin kami, tetapi ia adalah berkenaan berapa banyak duit yang perlu dihabiskan untuk mencapai sasaran tersebut,” jelasnya.

Enjin 5-silinder Audi ini kini sudahpun 26 kg lebih ringan dari sebelumnya dengan penghasilan blok menggunakan material aloi, serta 33 hp lebih berkuasa untuk model RS3 berbanding versi terdahulu. Buat masa ini, enjin-enjin yang berada pada TT RS dan RS3 menghasilkan 400 hp dan tork maksima 480 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dan sistem AWD Quattro.

“Bagi kami, enjin lima-silinder mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan warisan sejarah Audi. Ia merupakan saranan jualan unit (USP) nombor satu dalam model-model tersebut, dan setiap kali kami lancarkan model baharu dengan lima-silinder, kami dapat respon seperti ‘kami gembira kamu masih kekalkan enjin ini dan jangan turun kepada empat-silinder,” kata perancang produk Audi Sport, Annette Möllhoff.

“Ia sentiasa sukar untuk memenuhi undang-undang baharu, tetapi kami telah berusaha untuknya selama setahun. Kami akan teruskan dan kami berharap agar kami dapat memenuhi setiap undang-undang dan menawarkannya untuk model-model kompak akan datang,” kata pengurus teknikal Audi Sport Sebastian Grossert pula.

Laporan ini turut menambah bahawa salah satu strategi Audi untuk mengekalkan produksi enjin lima-silinder ini adalah dengan menggunakan teknologi elektrik – Audi kini memperkenalkan sistem hibrid ringkas 12V dan 48V untuk model-model terkininya. Sistem pada A4 facelift misalnya (menggunakan enjin empat-silinder), dikatakan mampu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 0.7 liter untuk setiap 100 km, bergantung pada enjin. Jadi ia mungkin akan memudahkan tugas jurutera untuk mengekalkan enjin lima-silinder berkenaan dengan menggunakan sistem hibrid ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required