Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

Selepas mengambil alih pemerintahan daripada parti Barisan Nasional yang tewas dalam PRU14, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Ogos lalu. Faktor utama pembatalan projek mega itu disebabkan ia melibatkan kos pembinaan yang begitu besar iaitu mencecah RM65.5 bilion, sedangkan dalam masa yang sama negara turut menanggung bebanan kewangan yang meruncing.

Walau bagaimana pun, pada April lalu, Tun Mahathir memaklumkan projek ECRL ini boleh diteruskan tapi kena banyak melakukan perubahan dalam perancangan termasuk mengecilkan skalanya. Rundingan demi rundingan dengan pelbagai pihak khususnya China memandangkan projek tersebut menerima pembiayaan daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank of China). Di mana Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman daripada Exim Bank of China dengan syarat bahawa syarikat dari China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC), yang akan bertanggungjawab membina laluan kereta api.

Selepas sembilan bulan ditangguhkan, kini kerajaan telah membuat keputusan muktamad untuk meneruskan projek ECRL ini, dengan kos yang dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak 33% iaitu RM21.5 bilion. Malah hari ini, projek tersebut telah dilancarkan semula oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di tapak terowong Dungun, Terengganu, iaitu salah satu lokasi stesen yang bakal dibina.

Menurut Loke, projek ECRL yang ditambah baik kini merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer dengan 417 kilometer atau 65.2% daripadanya mengalami perubahan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun dikenali sebagai Seksyen A dan jajaran baharu keseluruhan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dikenali sebagai Seksyen C.

Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

“Jajaran ECRL dari Dungun ke Mentakab pula yang dikenali sebagai Seksyen B sepanjang 223 kilometer adalah 34.8 peratus daripada keseluruhan jajaran ECRL yang tidak terbabit dengan sebarang perubahan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Tambahnya lagi, perubahan jajaran itu dilakukan berikutan faktor kos dan tanah tidak sesuai untuk pembangunan ECRL. Tiga terowong akan dibina dalam projek itu iaitu Terowong Dungun di Bukit Bauk sepanjang 871 meter, Terowong Paka (1,104 meter) dan Terowong Kuantan sepanjang 2,286 meter yang turut melalui kawasan Jabor, Terengganu.

“Fokus utama bertumpu kepada reka bentuk dan kerja fizikal bagi pembinaan terowong sepanjang 14.13 kilometer di 23 lokasi serta kerja awalan untuk jambatan sepanjang 39.03 kilometer di 65 lokasi di sepanjang 223 kilometer jajaran dari Dungun ke Mentakab, yang tidak mengalami perubahan jajaran.

“Perkara membabitkan penambahan stesen memerlukan perbincangan lanjut dua kerajaan, Malaysia dan China, ia bukan boleh dilakukan begitu saja. Kita jangan melihat kepada jumlah stesen, tetapi lihat kepada bagaimana kita menambah nilai projek bagi manfaat ekonomi, pelaburan dan pembangunan di kawasan jajaran,” ujarnya lagi.

Projek ECRL yang baharu akan melalui 20 stesen dengan 14 stesen stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk kargo saja. Dijangka siap pada tahun 2026, projek ini juga dilihat mampu memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan serta menjadi pemain penting memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required