Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai berbilion Ringgit dibatalkan. Walau bagaimana pun, perkembangan terkini melaporkan projek berkenaan berkemungkinan mampu diteruskan dalam skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju dengan langkah berkenaan.

Laporan Berita Harian, yang memetik temubual antara Tun Mahathir dengan akhbar Sin Chew Daily semalam, berkata Malaysia dan China masih membincangkan perkara berkenaan dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.

“Apa yang kita cuba lakukan kini adalah memastikan kita tidak berbelanja terlalu besar dan China tidak mengalami kerugian,” katanya yang turut menyatakan Malaysia kini dalam dilema sama ada ingin membatalkan projek ECRL atau meneruskannya dengan perbelanjaan yang besar.

“Malaysia bagaimanapun akan cuba sedaya upaya untuk meminda projek berkenaan atau mencari alternatif lain. Kita sedang berunding secara rasmi atau tidak rasmi bersama mereka (China). Bagi mereka, jika ia adalah kontrak yang menguntungkan, mereka tidak mahu melakukan sebarang perubahan,” katanya.

Pelan laluan asal ECRL

Projek ECRL yang bernilai RM81 bilion itu diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober 2016. Projek pembinaan itu akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala pembiayaan itu akan disediakan oleh Export-Import Bank of China (Exim Bank of China). Di mana Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman daripada Exim Bank of China dengan syarat bahawa CCCC membina laluan kereta api.

Ia merangkumi laluan sepanjang 600.3 kilometer bagi fasa pertama melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.

Menurut Tun Mahathir lagi, “Tetapi, perkara ini tidak mudah untuk dilaksanakan kerana kita terikat dengan kontrak. Ini kerana kita tidak mempunyai wang untuk membayar China, kita sudah pun membayar sejumlah wang kepada China selepas penangguhan itu.”

Katanya lagi, ECRL adalah satu pembaziran kerana kerajaan tidak akan mendapat apa-apa pulangan daripada projek itu selain kerajaan tiada cara untuk membayar cukai syarikat konsesi itu. Di mana kerajaan tidak pernah menerima sesen pun keuntungan daripada perkhidmatan kereta api Pantai Timur biarpun penggunaannya berat.

“Dalam projek ECRL, terdapat beberapa individu yang miskin yang mana mereka tidak menjalankan perniagaan besar seperti mereka di kereta api Pantai Timur, jadi anda tidak boleh mendapatkan pelaburan anda semula. Pulangan daripada projek itu hampir kepada ‘sifar’ dan kita perlu membayar hutang sebanyak RM55 bilion,” katanya.

Dr Mahathir juga menafikan bahawa dia adalah pemimpin ‘pro-Jepun, anti-China’, dengan menyatakan bahawa dia mempertahankan China ketika dia menghadiri forum di Jepun.

“Mereka bertanya mengenai perasaan saya terhadap China, saya berkata bahawa Malaysia sentiasa berhubung dengan China dan kita adalah rakan dagang, kita sentiasa mesra dengan China,” katanya sambil menambah China datang ke Malaysia untuk berdagang berabad lalu tetapi tidak pernah menjajah Malaysia, tidak seperti Portugis.

“Jadi, negara mana yang harus (anda) takutkan? China atau Eropah? Orang Cina mengenal saya sebagai rakan mereka. Sekarang, saya dikatakan tidak ramah kepada mereka, semata-mata kerana kerajaan sedang mengkaji projek ECRL dan Paip Gas Trans-Sabah (TSGP)?

“Kerajaan China memahami masalah kewangan kita, bukannya kita tidak mahu projek ini, tetapi ini adalah projek yang teruk pada awal lagi dan kita tidak mampu untuk menampung perbelanjaannya,” katanya sambil menambah bahawa dia akan ke China jika perlu.