BMW Malaysia telah mengemaskini senarai harga 2019, dan mendedahkan harga rasmi bagi BMW X2 M35i F39, yang pertama kali dipertontonkan di negara ini pada Mei lalu dan dijadualkan akan mula berada di bilik pameran pada bulan ini. Model X2 ini ditawarkan pada harga atas jalan RM398,800, tanpa insurans, tidak banyak beza dengan harga anggaran yang diumumkan pada majlis pra-tontonnya.

X2 M359 ini dijanakan oleh oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan 306 hp dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan xDrive AWD dengan launch control. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 250 km/j.

Untuk bahagian casis, X2 M35i dipadankan dengan suspensi adaptif M Sport yang mempunyai dua mod, manakala pada gandar hadapan terdapat differential mekanikal M Sport untuk memastikan cengkaman yang baik. Peningkatan lain adalah termasuk talaan stereng serta brek yang lebih besar iaitu cakera 18-inci di hadapan dan 17-inci di belakang dengan angkup M berwarna biru. Untuk spesikasi Malaysia, ia turut ditampilkan dengan roda aloi Style 721M 20-inci dengan warna Cerium Grey, dibaluti tayar runflat Pirelli P-Zero 225/40.

Penggayaan luarannya diserlahkan dengan pakej M Sport, yang ditambah beberapa kemasan lain. Ini termasuk kemasan Cerium Grey untuk gril dan perumah cermin sisi dengan dua muncung ekzos berdiameter 10cm di belakang yang disambung pada sistem ekzos M Performance dengan kawalan injap.

Di dalamnya juga dihadirkan pakej M Sport, dengan tempat duduk M Sport (dan tali pinggang keledar dengan jaluran M) sebagai pilihan. Ciri bagi kit standard termasuk sistem Navigation Plus dengan skrin sesentuh 8.8-inci, paparan head-up dan sistem audio Harman Kadron 12-pembesar suara 360 watt. Dengan harga hampir cecah RM400k, brek kecemasan sendiri (AEB) tidak disertakan pada X2.

Seperti mana barisan model BMW yang lain, X2 M35i turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad dengan program servis berjadual percuma dan juga program waranti tayar selama dua-tahun.