Apa kereta lazim di Malaysia yang dipilih jika anda berminat untuk berjinak-jinak dengan kereta lama buatan Jepun? Untuk mereka dengan poket yang tebal, mungkin boleh memilih kereta-kereta lagenda dengan harga berbelas ribu ringgit walaupun kena tarik keluar dari semak seperti Toyota Celica generasi pertama, Mitsubishi GTO generasi pertama, atau Datsun Bluebird 510 SSS.

Bagi mereka dengan bajet yang kecil pula, pelbagai Toyota kecil boleh dipilih seperti Starlet KP61 atau Corolla KE70 yang boleh berkongsi banyak komponen dari hero litar dan touge JDM era 80’an iaitu Corolla Levin/Sprinter Trueno AE86. Pernah dengar Toyota Corona? Jarang anak muda nak pakai kereta ini untuk dijadikan sesuatu yang hipster kerana ia hadir dalam pasaran pada era 70’an dan 80’an dahulu dengan posisi yang sama seperti Toyota Camry sekarang – tebal dengan imej untuk pakcik dan uncle.

Jadi jika anda ke mana-mana acara yang melibatkan kereta lama, sangat sukar untuk kita lihat kehadiran Toyota Corona ini. Sama juga ketika berlangsungnya Art of Speed (AOS) 2019 hujung minggu lalu – hanya sebuah Corona yang tampil tunjuk muka, milik Mohd Fadzilee dari Ipoh.

Sebenarnya, Fadzilee yang lebih mesra di sapa ‘Pali’ ini adalah kenalan saya sendiri dari forum Retro Syndicate lebih 10 tahun yang lalu. Sejak mengenalinya, dia hanya setia dengan Corona generasi keenam (kod casis TT132) keluaran 1979 miliknya ini, dan direstorasi secara berperingkat dari semasa ke semasa, secara sendiri di rumahnya, walaupun tiada langsung latar belakang sebagai seorang mekanik!

Kereta ini sebenarnya milik ayah Pali sejak dia di bangku sekolah rendah lagi, dan inilah pengangkutan sehariannya termasuk untuk pergi kesekolah. Tiba satu masa, kereta tersebut mahu dijual bagi mendapatkan kereta baharu, tetapi kerana harga yang terlalu murah ditawarkan oleh kedai kereta terpakai, Corona ini kekal duduk di rumah keluarga Pali sehingga tersadai.

Pali yang sememangnya mempunyai hubungan sentimental dengan kereta ini akhirnya berusaha untuk menghidupkannya sendiri. Dia mula bergaul dengan komuniti peminat kereta lama, dan memperbaiki kereta berkenaan sedikit demi sedikit, sehingga membawa kereta tersebut berlumba di litar Batu Gajah, Perak.

Walaupun kereta ini kurang digemari, Corona TT132 sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dalam keadaan standard. Dari kilang, ia sudahpun dijana oleh enjin 3T 1.8 liter dengan kepala silinder ‘hemi’, bersama kotak gear W50 sama seperti salah satu varian Toyota Celica generasi kedua. Malah kebanyakkan komponen-komponen suspensi seperti penyerap hentak dan bar anti-oleng boleh disalin terus dari Celica dan AE86 tanpa sebarang pengubahsuaian.

Tahun 2011, saya dan rakan-rakan dikejutkan dengan berita Pali kemalangan di Cameron Highland. Dan selepas itu, dia agak senyap seketika, tetapi ia bukan pengakhiran sebaliknya kejadian tersebut dijadikan titik mula untuk episod baharu restorasi Corona TT132 ini.

Setelah bertanyakan berkenaan kos untuk merombak rawat sepenuhnya enjin kereta ini kepada bengkel, Pali berpendapat banyak kos yang dapat dikurangkan jika dilakukan sendiri. Jadi dia mula membeli kren untuk mengangkat enjin dan kelengkapan bengkel lain seperti torque wrench untuk melakukan tugas tersebut. Dia turut berjaya mendapat manual bengkel untuk panduannya sepanjang projek ini.

Dalam masa yang sama, Pali mula membuang cat kereta ini dengan mengikisnya sendiri sehingga tinggal besi semata-mata. Kemudian badan kosong kereta tersebut dihantar ke bengkel membaiki badan kenderaan untuk memperbetulkan bahagian hadapan yang rosak semasa kemalangan dan membuang segala panel badan yang mula dijangkiti karat – Pali tidak membuat proses ini sendiri kerana peralatan yang perlu dibeli terlalu mahal.

Setelah badan kereta ini pulang ke rumah, Pali terus menyembur cat primer sendiri bagi mengelakkan ia berkarat semula. Buat masa ini, dia tidak menyimen badan kereta tersebut dan memberikan cat akhir sebenar kerana ia mungkin akan memakan masa yang agak lama, dan dia perlukan kereta ini untuk bergerak kemana-mana. Namun Pali berpuas hati dengan mengetahui badan kereta tersebut bebas karat, walaupun rupanya tidak sempurna.

Berbalik pada enjin, ia kini dalam keadaan seperti kereta baharu dengan kesemua gasket dan komponen lusuh dan haus lain telah ditukar. Pali mengecat kembali hampir keseluruhan komponen enjin tersebut supaya kelihatan seperti baharu, termasuk penutup kepala silinder yang diberikan cat hitam dengan kesan wrinkle.

Pali membuat sedikit pengubahsuaian pada karburator asal bagi meningkatkan responnya. Coil untuk sistem pencucuhan turut ditukar menggunakan unit dari Bosch, manakala penutup distributor ditukar kepada komponen lutsinar yang menampakkan setiap agihan percikan api ketika enjin tersebut hidup.

Ruang enjin Corona ini diberikan perhatian yang luar biasa oleh Pali. Cat primer pada bahagian ini diberikan lapisan clear yang berkilat. Kemudian wayar-wayar disorokkan dan bateri juga telah dialih ke but belakang. Anda nampak paip-paip dan receiver drier untuk sistem pendingin hawa yang sangat kemas pada ruang enjin ini? Ini bukan hasil kedai, tetapi Pali membina semula sistem tersebut sendiri di rumahnya.

Satu lagi perkara rumit yang dilakukan oleh Pali adalah sistem pendawaian kereta ini. Wayar-wayar tersebut bukan sahaja disorokkan oleh Pali, malah dia telah membuat satu papan fius baharu kereta yang sangat kemas, disorokkan dalam glove box. Menurut Pali, dengan papan fius yang memusatkan kesemua sistem elektrikal kereta berkenaan, apa-apa yang tidak kena lebih mudah untuk diperiksanya sendiri.

Jika kita hantar ke bengkel, kos untuk membuat semula sistem pendawaian ini bukanlah sesuatu yang murah kerana ia sangat rumit. Sekarang anda bayangkan pula bagaimana perkara ini dilakukan oleh seseorang yang tidak pernah belajar berkenaan automotif secara formal, dan ia hanya dilakukan di rumah.

Suspensi kereta ini turut mendapat sentuhan Pali sendiri. Pemasangan strut suspensi hadapan masih lagi asli Corona, tetapi penyerap hentak di dalamnya kini menggunakan unit boleh laras yang diambil dari AE86, kemudian dikahwinkan dengan spring yang boleh dilaras ketinggiannya.

Di belakang pula, penyerap hentak asal telah digantikan dengan penyerap hentak boleh laras untuk Mitsubishi Lancer GT, digandingkan dengan spring diambil dari Volvo 240, dan dipotong bagi memberikan ketinggian yang sama dengan hadapan. Bagi melengkapkan rupa luaran Corona ini, Pali masih lagi mengekalkan muka, lampu belakang dan semua perapi-perapi krom asli Corona TT132. Untuk memberikan imej sebuah mesin lumba Jepun pula, sepasang cermin sisi ‘tanduk’ Corona JDM an juga spoiler dagu hadapan.

Rim hadapan dan belakang Corona ini nampak macam sama bukan? Namun sebenarnya bahagian hadapannya diberikan rim replika Black Racing 15-inci dengan lebar 9 jj dan offset 0 dibalut tayar Achilles ATR Sport bersaiz 195/50R15, manakala di belakang pula adalah rim Atara Racing Pisang juga dengan diameter dan lebar sama tetapi dengan offset -13 bersama tayar Toyo Proxes TR1 dengan saiz sama.

Proses restorasi Toyota Corona TT132 ini tidak berakhir di sini dan Pali akan meneruskannya mengikut kemampuannya. Dia sendiri berharap satu hari nanti kereta ini turut akan tampil dengan warna badan yang merelip. Orang ramai mungkin rasa kereta Corona Pali tidak seberapa, tetapi setelah diberitahu bahawa semua ini dilakukan sendiri dirumah, kebanyakkan mereka akan membeliakkan mata seolah-olah tidak percaya.