Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing rare 3-pintu!

Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing <em>rare</em> 3-pintu!

Pada Geneva Motor Show tahun ini, Toyota telah mendedahkan sebuah hot-hatch kompak Yaris GRMN – dijana enjin supercharge 1.8 liter yang mampu mengekstrak 210 hp. Model berkenaan merupakan Yaris (dikenali sebagai Vitz untuk JDM) versi berprestasi tinggi pertama setelah diperkenalkan dalam tiga generasi bermula pada tahun 1999.

Untuk pengetahuan anda Yaris/Vitz ini sebenarnya merupakan cucu-cicit kepada Toyota Starlet yang popular pada era 80’an hingga 90’an. Selain terkenal sebagai sebuah hatchback kompak yang sangat boleh diharap, Starlet turut terkenal dengan versi berprestasi tingginya iaitu Starlet GT Turbo – EP71 dan EP82, dan model turbo terakhir Starlet Glanza V EP91.

Namun sebelum popularnya model-model pacuan hadapan ini, Starlet terlebih dahulu dikenali sebagai hatchback pacuan belakang yang begitu lincah menerusi model KP60/KP61. Model ini merupakan Starlet generasi kedua dan merupakan Starlet pertama hadir dengan bentuk badan hatchback, setelah beralih dari badan sedan/coupe pada model Publica Starlet (P40/P50) generasi pertama.

Tiada model berprestasi tinggi dengan enjin turbo untuk model ini, tetapi Starlet merupakan jentera yang popular di Jepun bagi digunakan dalam perlumbaan kereta touring TS-Cup yang masih mengekalkan enjin siri-K produksi (dengan pelbagai ubahsuai membolehkan ia menjerit hingga 9,000 rpm), bersaing dengan Datsun Sunny KB310 dan juga Honda Civic generasi pertama (SB1).

Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing <em>rare</em> 3-pintu!

UMW Toyota mula membawa masuk Starlet ke pasaran Malaysia pada sekitar tahun 1979 menerusi model zenki KP60 lima-pintu yang dijana enjin 2K 1.0 liter empat silinder. Atuk-atuk dan ayah-ayah kita menggelar Starlet ini sebagai ‘Kambing’ ketika ia mula dijual kerana logo Starlet yang terpampang pada roda stereng mempunyai bentuk seperti kepala kambing.

Sekitar tahun 1982/1983, model kouki (facelift) mula diperkenalkan pada pasaran tempatan. Masih lagi ditawarkan dengan bentuk badan hatchback lima-pintu, namun versi lebih segar berkenaan hadir dengan kod casis KP61 – bermaksud ia dijana enjin 4K 1.3 liter yang lebih berkuasa.

Kereta milik Hamizan Selamat yang kami paparkan kali ini merupakan salah satu contoh Starlet Kambing yang masih gagah (dan laju!) menyelusuri jalan raya walaupun telah berumur lebih 30-tahun. Sekali pandang, ia macam sama dengan ‘kambing-kambing’ lain. Namun jika diperhatikan betul-betul, ada sesuatu yang ganjil pada badan kereta ini. Ya, ia tiada pintu belakang, dan pintu hadapannya lebih panjang dari biasa.

Kereta ini bukanlah model yang boleh dibeli di bilik pameran Toyota ketika itu, kerana ia adalah model hatchback tiga-pintu yang dibawa oleh pengimport persendirian ke Malaysia dan jumlahnya di sini amatlah sedikit serta sangat sukar untuk dijumpai – membuatkan kereta ini diburu oleh peminat-peminat JDM Legend di sini.

Kereta ini dibeli oleh Hamizan pada tahun 2014, dan boleh dikatakan dia hanya mendapat ‘rangka’ ketika itu. Kereta ini sebenarnya sebuah jentera drift satu ketika dahulu dan kerap menyertai pertandingan pada pertengahan era 2000. Semasa aktif berlumba bersama tuan lamanya, KP61 ini dijana enjin 2.0 liter turbo SR20 dari Nissan.

Dikelilingi oleh kawan-kawan yang aktif merestorasi kereta lama, Hamizan bernasib baik dalam projek Starlet keduanya ini kerana dia tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan cermin-cermin yang hilang, serta panel dalaman pintu yang diperolehi dari sepasang pintu gantian.

Selain dari komponen-komponen unik tersebut, Hamizan mendapatkan sebuah lagi KP61 tetapi dari versi normal lima-pintu yang digunakan sebagai ‘donor car’ bagi melengkapkan kembali bahagian badan dan mekanikal yang telah hilang pada Starlet tiga-pintu berkenaan.

Boleh dikatakan Starlet ini tampil dengan rupa asal ketika keluar dari kilang dahulu tanpa perubahan-perubahan drastik seperti bampar Iswara atau lampu belakang Skyline R32. Hamizan hanya menukar berberapa bahagian bagi menaikkan seri kereta ini antaranya lampu hadapan sealed beam asal ditukar kepada lampu dengan mentol H4 dari PIAA, cermin sisi ‘tanduk’ dari Toyota Celica TA22, sepasang pin bonet, dan juga visor krom asli Toyota yang diambil dari Toyota Mark II.

Setelah badan kereta ini di cat dengan warna solid 2K Angelic White, Hamizan turut menempah jalur sisi badan yang direka sama seperti pelekat asal yang menampilkan perkataan ‘STARLET’ pada bahagian belakang, dan ‘sinopsis’ spesifikasi asal kereta ini pada bahagian permulaan pintu.

Masuk ke kabin, hampir keseluruhan imej asal Starlet ini juga masih kelihatan – termasuk penggunaan papan pemuka dan juga roda stereng asal. Berdasarkan lampu amaran pintu yang masih menyala ketika pintu dibuka, boleh disimpulkan pendawaian semula ‘rangka’ kereta ini turut dibuat dengan baik.

Selain itu, tempat duduk hadapan kereta ini telah digantikan dengan tempat duduk yang lebih sporty dan selesa iaitu Recaro Fishnet. Tempat duduk belakang masih lagi dikekalkan (dan masih boleh dilipat untuk memberikan ruang kargo lebih besar) tetapi telah dibalut semula untuk penampilan yang lebih baik.

Walaupun tampil dengan rupa standard, Starlet ini sebenarnya menyorokkan sesuatu di dalam perutnya. Hamizan tidak mencari semula enjin 1.3 liter 4K asal Starlet ini, sebaliknya memilih enjin 1.6 liter Twin Cam 4A-GE yang diambil dari jentera lagenda Toyota Corolla AE86.

Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing <em>rare</em> 3-pintu!

Sebelum ini, Hamizan telah memadankan sistem karburator perlumbaan side-draf Weber DCOE dengan diameter choke 45mm. Tetapi bagi tujuan praktikaliti, ia telah diganti semula dengan sistem suntikan bahan api elektronik bersama sistem TVIS asal yang ternyata lebih mudah untuk diselenggara.

Tiada ubahasuai bahagian dalaman seperti omboh, aci sesondol dan sebagainya di mana Hamizan hanya menukar sistem kemasukan dan penapis udara aftermarket, serta header ekzos 4-2-1 custom yang kelihatan seperti tanduk kambing gurun.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan T50 juga dari AE86 bagi menghantar kuasa ke roda belakang. Di bina untuk kegunaan jalan raya dan tidak berniat untuk menyertai mana-mana aktiviti drift, gandar belakang asal Starlet tanpa unit LSD masih lagi dikekalkan oleh pemiliknya.

Bagi menampung kuasa lebih besar yang dihasilkan dan juga untuk menjadikan Kambing ini kelihatan ‘merayap’ di atas jalan raya, sistem suspensinya turut mendapat sentuhan semula. Pemasangan strut dan hab roda asal untuk bahagian hadapan masih dikekalkan, namun pada bahagian dalamnya kini diisi dengan penyerap hentak boleh laras Tein yang diambil dari Nissan Silvia S13. Manakala bahagian belakang pula, suspensi asal telah digantikan dengan sistem boleh laras keras-lembut TRD yang diambil dari AE86.

Sebelum direndahkan serapatnya ke permukaan jalan, hatchback ini dipadankan dengan set rim lengkap ‘pisang’ asli dari RS Watanabe buatan Jepun. Watanabe dari siri R Type berkenaan berdiameter 14-inci tetapi menampilkan lebar dan offset berbeza – 8jj dengan et 0 di hadapan dan 8.5 jj et-13 di belakang.

Akhir sekali bagi melengkapkan kereta ini dan membolehkan rim ‘terjojol’ keluar dari badan, tetapi sebahagian tayar masih boleh disorokkan disebalik fender, tayar Falken Ziex dengan saiz 165/60R14 ‘dipaksa’ masuk ke kesemua rim berkenaan – memberikan kesan ‘stretch‘ yang menyebabkan dinding tayar berkenaan serong.

Menurut Hamizan, dari keadaan rangka kosong sehingga Kambing ini mampu meluncur hensem di jalanraya, ia mengambil masa selama setahun untuk disiapkan sepenuhnya. Berapa pula perbelanjaan yang dikeluarkan? Jangan ditanya, faham-faham sendiri sudahlah.

Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required