Qatar tunjuk minat terhadap kereta nasional ketiga

Kerajaan masih belum umumkan syarikat mana yang akan bertanggungjawab terhadap Projek Kereta Nasional Ketiga (PKNK). Tetapi, kesediaan yang ditunjukkan oleh pihak berminat – termasuk negara-negara luar – terhadap projek ini khabarnya tetap ada. Awal bulan ini, UK memaklumkan mereka terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk projek berkenaan. Terbaru, Qatar juga menyuarakan minat yang sama.

Menurut satu kenyataan media, Qatar sekali lagi mengulangi kesediaan negara itu untuk melabur di dalam projek berkenaan, terutama terhadap pembangunan enjin, komponen, kelengkapan teknologi atau promosi, lapor Utusan Malaysia.

Ini bukan perkara baru. Disember tahun lalu, dilaporkan seorang individu dari Qatar telah meluahkan minatnya untuk melabur sehingga US$400 bilion (RM1.6 trilion) untuk projek berkenaan, walaupun wakil kerajaan menafikan perkara itu.

Setelah reda buat sementara waktu, perkembangan mengenai projek berkenaan kembali kedengaran. Pada Mac, Putrajaya dilaporkan sudah mempunyai senarai pendek dua syarikat yang dikatakan bakal mengetuai projek berkenaan. Awal minggu ini pula, identiti pembida berkenaan pula muncul, dan dilaporkan bahawa Alam Perkasa Consortium (APC) dan Elenvi Otomotif akan menubuhkan Malaysian International Motor Company (Mimco) yang akan membina kereta elektrik dan akan dijual bermula 2022.