Hadri, Toyota AE86 bertolak ke Nürburgring ikut jalan darat hari ini – ekspedisi dijangka tamat sekitar 3 bulan

Hadri, Toyota AE86 bertolak ke Nürburgring ikut jalan darat hari ini – ekspedisi dijangka tamat sekitar 3 bulan

btrhdr

Ingat lagi kisah Engku Mohammad Hadri yang merancang untuk ke litar “The Green Hell” Nürburgring dengan Toyota AE86 Sprinter Trueno miliknya menerusi jalan darat? Hari ini merupakan hari yang bersejarah buatnya kerana Retro Havoc Motorsport World Tour secara rasmi telah dilepaskan dari Ibu Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia, Putrajaya.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perubahan dalam perancangan ekspedisi ini atas faktor masa dan sudah tentu kewangan. Hadri tidak akan ditemani oleh kenderaan sokongan, di mana dia dan juga Sharifah Nur Sharmila (juru pandu arah), serta Abdul Rahman Halid (mekanik dan pemandu gantian) hanya akan menaiki Panda Trueno tersebut untuk ke Jerman.

Kira-kira pukul 11 pagi tadi, Hadri secara rasminya telah dilepaskan oleh YB Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik, Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia di Putrajaya. Dia akan bergerak ke Kedah hari ini bersama konvoi berberapa buah lagi kereta klasik Retro Havoc, dan kemudian akan merentasi sempadan Malaysia-Thailand esok.

Hadri, Toyota AE86 bertolak ke Nürburgring ikut jalan darat hari ini – ekspedisi dijangka tamat sekitar 3 bulan

Selepas Thailand, Hadri akan bergerak menuju ke China, Mongolia, Latvia, Rusia dan akhir sekali di Jerman. Kemudian, Hadri bakal melakukan sesi catatan masa di Litar Nürburgring berkenaan dengan AE86 miliknya ini.

Secara keseluruhan, Hadri dan Sprinter Trueno berkenaan akan menempuh perjalanan sejauh 25,000 kilometer, merentasi 25 buah negara. Sepanjang perjalanan, pasukan ini akan singgah ke 139 tempat, 77 daripadanya mereka akan bermalam di kawasan bandar, manakala 20 tempat lagi mereka akan singgah tidur di tapak perkemahan. Dijangkakan, ekspedisi ini akan tamat dalam masa 98 hari.

Jika anda perhatikan, Toyota AE86 ini juga telah dibuat berberapa perubahan bagi menempuh perjalanan lebih dari tiga bulan, dan pelbagai bentuk muka bumi. Enjin 4A-GE pada perutnya masih lagi dalam keadaan sama, tetapi baru sahaja menerima rombak rawat bagi memastikan segala komponen dalaman berfungsi seperti baharu.

‘Pejabat’ Hadri kini dilengkapi dengan tempat duduk standard AE86 yang lebih selesa dari tempat duduk bucket perlumbaan Corbeau Sprint sebelum ini. Jenama suspensi perlumbaan boleh laras tempatan – F Tuned Racing – telah berbesar hati untuk memadankan set suspensi lengkap mereka pada kereta Hadri ini, dihasilkan khas untuk ekspedisi tersebut.

Untuk perjalanan, suspensi berkenaan ditala dengan jarak kelegaan tanah yang agak tinggi. Ini bukan sahaja untuk memastikan keselesaan dan membolehkan kereta tersebut melalui laluan mencabar di jalan seperti laluan Trans Siberia nanti, ia juga di tala bagi membawa beban yang menurut Hadri mencecah lebih 500 kg. Satu rak bumbung tambahan juga dipadankan bagi memberikan lebih ruang kargo.

Untuk ekspedisi ini juga, Hadri menerima tajaan tayar dari Yokohama Malaysia. Untuk kegunaan jalan biasa, rim ‘pisang’ Black Racing tersebut akan dibaluti tayar Yokohama Advan Fleva. Manakala di Nürburgring nanti, Hadri akan menggunakan dua set tayar Yokohama Advan AD08 yang akan terus dihantar kesana dengan kurier, dan suspensi F Tuned Racing tadi akan di tala semula mengikut talaan yang telah pun diuji di Litar Sepang sebelum ini.

Sepanjang perjalanannya nanti, Hadri bukan sahaja akan mempromosikan Retro Havoc dan juga budaya ubahsuai kenderaan di Malaysia. Malah kit-kit promosi untuk memperkenalkan pelancongan di Malaysia, termasuk pelancongan sukan seperti Kejohanan Moto GP dan juga pusingan terakhir FIA World TCR 2019 pada hujung tahun ini turut di bawa bersama.

Dalam sesi sidang media pagi ini, Hadri turut mengumumkan bahawa pada penghujung ekspedisi ini, dia akan melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya – gadis dari Jerman yang kini menetap di sana – menerusi satu majlis ala-Melayu di negara tersebut. Sama-sama kita doakan kejayaan Hadri kali ini!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required