Perodua Axia 2019 – risalah bocor, ada VSC, A.S.A 2.0!

Perodua Axia 2019 – risalah bocor, ada VSC, A.S.A 2.0!

Nampaknya Perodua pun ada taruhan terbaru untuk pasaran tempatan. Selepas beberapa perkembangan kebelakangan ini yang lebih tertumpu kepada Proton – terbaru dengan pelancaran Saga 2019 – akhirnya ada sesuatu daripada Perodua pula.

Telah beredar di media sosial risalah terbaru Perodua Axia 2019 yang memberi petunjuk bahawa model kompak berkenaan bakal menerima beberapa peningkatan ciri serta kemaskini penampilan. Pertama sekali, Axia baru itu nanti akan dilengkapi ciri kawalan kestabilan kenderaan (VSC). Dan, bukan itu saja – Axia juga akan menerima ciri Advanced Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) dengan pengesanan pejalan kaki!

VSC akan ditawarkan bagi varian GXtra (varian pertengan terbaru) ke atas, manakala A.S.A 2.0 akan ditawarkan pada varian SE yang paling tinggi untuk model terbabit. Sama seperti sebelum ini, varian paling asas E hadir tanpa kelengkapan ABS; ciri ini hanya akan melengkapi varian G ke atas.

Dari segi penampilan, apa yang dapat dilihat ketika ini ialah Axia akan menerima perubahan wajah yang agak ketara berbanding menjadi sebuah model baru sepenuhnya. Ini kerana, ia masih menggunakan bentuk luaran yang sama seperti model sedia ada, serta ruang barangan juga masih sama dengan kapasiti 260 liter.

Sebelum ini, Perodua pernah menyatakan bahawa syarikat itu akan menawarkan ciri keselamatan seperti A.S.A bagi model serta varian yang lebih rendah untuk menjadikannya lebih mudah dicapai oleh orang kebanyakan. Melalui Axia 2019 ini perkara itu sudah dapat dilihat. Dan, walaupun tidak dinyatakan, penawaran beg udara dijangka kekal pada angka dua.

Varian E kekal menjadi kereta paling murah yang boleh dibeli di Malaysia ketika ini. Bagaimanapaun, kelengkapannya kosong, tidak termasuk ciri yang dinyatakan di atas – termasuk tak ada unit radio atau pembesar suara. Ia juga satu-satunya varian dengan kotak gear manual lima-kelajuan, sementara varian G kini hanya ditawarkan dengan gear automatik empat-kelajuan.

Varian G menerima tambahan dua pembesar suara rim 14-inci, tanpa ciri cangkuk keselamatan di tengah yang mula ditawarkan bagi varian GXtra, yang turut menerima sensor parkir depan dan belakang, perehat kepala boleh laras untuk pemandu, cermin sisi kuasa elektrik dan empat pembesar suara.

Bagi varian SE, ia menerima gril krom, kit sisi badan, sistem tanpa kunci dan filem penapis haba. Sementara itu, varian Advance pula ada tambahan kamera undur (dan mungkin juga unit skrin sentuh). Model facelift ini juga menyaksikan pengenalan varian baru, Style, yang terletak antara GXtra dan SE. Ia menjadi satu-satunya varian yang tampil dengan rekaan bampar depan dan belakang yang unik (sama seperti SE dan Advance sebelum ini yang berbeza dari bampar standard), serta rim 15-inci aloi. Tiada ciri A.S.A 2.0 untuk yang ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required