Honda Civic Si Coupe dan Sedan dengan kemaskini tahun 2020 kini telah buat kemunculan dipasaran Amerika Syarikat. Antara lain, ia menerima perubahan dari segi penggayaan dan kelengkapan.
Aspek luaran, kedua-dua versi sedan dan coupe menerima wajah depan baru yang mirip dengan Civic Hatchback 2020 terkini yang baru saja didedahkan minggu lalu. Bahagian bawah bagi bamparnya kini menerima perubah lampu kabus yang baru dengan kemasan hitam berkilah dengan palang ikut warna badan, dengan panel hitam menggantikan hiasan honeycomb mesh sebelum ini.
Rekaan “wing” pada bahagian atas gril juga baru, terletak di tengah lampu utama LED serta lampu kabus baru. Di belakang, Si Sedang membawa perubahan sama yang ada di depan, termasuk hiasan bilah yang ada, sementara Si Coupe pula kekal seperti sebelum ini. Semua model Civic Si kini menggunakan rim 18-inci hitam kesat dengan rekaan baru.
Di dalam, kedua-dua versi kereta ini menerima tempat duduk sport baru, dengan kemasan perincian merah. Ciri Active Sound Control juga baru, yang menggunakan sistem audio untuk menggayakan lagi bunyi enjin ketika pemanduan lincah.
Selebihnya, ia menggunakan kemaskini terakhir yang diberikan bagi model tahun 2019, seperti sistem Display Audio dengan butang fizikal dan tombol bunyi, ruang cawan yang lebih luas dan brek parkir elektronik.
Tambahan terbaru yang penting untuk dinyatakan ialah pakej keselamatan Honda Sensing yang didatangkan standard. Ini merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Departure Warning (LDW).
Tiada perubahan yang dilakukan terhadap output janaan unit enjinnya. Ia menggunakan unit 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder yang sama dengan janaan 205 hp pada 5,700 rpm dan 260 Nm tork dari 2,100 rpm hingga 5,000 rpm. Civic Si, yang menjadi penawaran prestasi bagi model ini dan diposisikan di bawah versi Type R hanya menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan.
Satu perkara yang diberi penambah baikan ialah nisbah gear akhir yang lebih pendek untuk pecutan yang lebih responsif, tetapi dengan penggunaan minyak yang lebih. Model tahun 2019 memberikan kadar penggunaan minyak 7.35 l/100 km (32 mpg), sementara model tahun 2020 ini pula memberikan 7.84 l/100 km (30 mpg). Kedua-dua model dijual pada harga bermula US$25,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.