Produksi Toyota Estima sah ditamatkan bulan hadapan

Produksi Toyota Estima sah ditamatkan bulan hadapan

Sebelum adanya Toyota Alphard dan Vellfire, Toyota Estima (juga dikenali sebagai Previa) terlebih dahulu menambat hati rakyat Malaysia dan menjadi penanda aras bagi model-model MPV mewah lain di sini satu ketika dahulu. Malah walaupun dengan kehadiran Alphard dan Vellfire, Estima masih mempunyai pengikutnya tersendiri dengan bentuk badan lebih bujur seakan telur/bola ragbi, berbanding berkotak seperti pesaingnya.

Berita sedih untuk peminat Estima, Toyota telah mengumumkan bahawa produksi MPV ini akan ditamatkan oleh kilangnya di Jepun bermula bulan hadapan. Pemasangan model generasi ketiga itu akan dihentikan tanpa sebarang pengganti, memandangkan permintaannya yang semakin berkurangan.

Toyota Estima generasi pertama telah diperkenalkan ke pasaran bermula pada tahun 1990, dan ia terus bertahan sehingga tahun 1999. Ia kemudian digantikan dengan model generasi kedua bermula pada tahun 2000 dan dijual sehingga tahun 2005. Model generasi ketiga yang dijual buat masa sekarang telah pun diperkenalkan buat pertama kali pada 2006 dan pernah mencapai angka jualan 100,000 unit setahun. Selepas 13-tahun, ia tidak lagi kompetitif – menjadikannya antara sebab mengapa pengeluarannya akan dihentikan bulan hadapan.

Produksi Toyota Estima sah ditamatkan bulan hadapan

Estima yang yang hadir dengan tujuh-tempat duduk turut menghadapi masalah dari segi segmentasi. Untuk mereka yang mahukan MPV tujuh tempat duduk, pilihan seringkali berpihak kepada Toyota Wish dan Noah kerana harga yang lebih murah. Estima walaupun mempunyai saiz yang hampir sama dengan Alphard dan Vellfire, ia seringkali ‘kalah’ kerana kelengkapan yang kurang mewah jika dibandingkan dengan dua MPV lebih terkini berkenaan.

Dengan pemberhentian produksi Estima di Jepun ini, bermakna penjualan Estima ini turut akan dihentikan di seluruh dunia kerana ia tidak dipasang di mana-mana kilang Toyota lain luar dari negara berkenaan. Mei lalu, setelah Toyota Granvia (Toyota Majesty di Thailand) – van Hiace yang diberikan kelengkapan seakan Alphard/Vellfire – diperkenalkan di Australia, Toyota turut mengumumkan bahawa ia akan menggantikan tempat Toyota Tarago (nama Estima di Australia) di pasaran tersebut.

Dengan pengumuman ini juga, khabar angin yang menyatakan Toyota telah menghasilkan Estima generasi keempat berdasarkan platform TNGA bersama dimensi yang lebih besar adalah kekal sebagai khabar angin semata-mata.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Good riddance…i dont know why msian still driving those box minivans….most developed countries, ppl wont dare be seen in one, SUVs looks more cool! Minivans sales world wide is almost dead

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 7
 

Add a comment

required

required