Setelah tiga tahun dalam pasaran, Honda Civic generasi ke-10 nampaknya bakal diberikan versi facelift tidak lama lagi – Honda Malaysia (HM) kini sudan mengumumkan bahawa tempahan Civic yang disegarkan semula tersebut sudah pun dibuka.

Serentak dengan itu, HM turut mengesahkan bahawa Civic 2019 bakal diberikan sistem penuh bantuan pemanduan Honda Sensing, yang terdiri dari sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Ia juga akan hadir dengan kamera LaneWatch, iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic 2019 juga akan menerima penderia parkir hadapan serta ciri-ciri lain terus akan dibekalkan, antaranya pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.

Untuk keselamatan, Civic masih dibekalkan dengan enam-beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudun dan juga cagak Isofix tempot duduk kanak-kanak.

Pada bahagian luaran, Civic 2019 disahkan akan menerima rupa seakan sama dengan Civic facelift pasaran Thai yang telahpun dilancarkan hujung tahun lalu. Ia diberikan kemasan baharu pada bampar hadapan tanpa kemasan liang Udara palsu, gril dengan kemasan hitam, kemasan baharu pada bampar belakang, spoiler lebih besar dan juga set rim 18-inci baharu.

Tiada perubahan ditampilkan pada unit janakuasa, di mana ia masih dijana oleh dua pilihan enjin – 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter empat silinder 1.5 liter berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya juga masih menerima kotak gear CVT.

Honda Malaysia masih lagi belum mengumumkan harga dan tarikh pelancaran Civic FC facelift 2019 ini. Tetapi apa yang pasti, ia akan menerjah pasaran Malaysia menjelang suku ke-empat tahun ini. Jadi bagi mereka yang berminat, jangan berlengah dan terus ke mana-mana 98 buah pusat jualan Honda di Malaysia dan buat tempahan anda.