Selepas beberapa bulan Honda Civic facelift membuat penampilan global di Amerika Syarikat, kini ia tiba pula di Thailand. Model facelift bagi Civic generasi FC ini turut melibatkan perubahan dalam kelengkapan yang diberi, bergantung kepada varian.

Secara keseluruhannya di Thailand, ia ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.8 E, 1.8 EL, 1.5 Turbo dan 1.5 Turbo RS, dengan harga antara 874,000 baht hingga 1,219,000 baht. Seperti yang boleh anda lihat pada namanya, ada dua pilihan enjin petrol iaitu 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan satu lagi enjin empat silinder 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT.

Pembaharuan yang dibuat pada bahagian luar adalah termasuk bampar baru, di mana bukaan udara bahagian bawahnya kini nampak bersambung menjadi satu dan bukannya terbahagi tiga. Bergantung kepada varian, ‘sayap’ pada gril serta hiasan di sekeliling lampu kabus boleh menjadi sama ada krom ataupun hitam berkilat.

Pergi ke belakang, terdapat perincian krom pada bahagian bawah bampar, manakala di tepi pula, ia mempunyai rekaan rim baru. Varian yang menggunakan enjin VTEC Turbo mendapat unit 17 inci, manakala yang lain menggunakan unit 16 inci. Melihat kepada rupa dan bentuknya, bahagian dalam tidak berubah.

Berkenaan kelengkapan, peningkatan paling jelas adalah kemasukan pakej keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing Suite, pada varian 1.5 Turbo RS. Dalam pakej ini terdapat fungsi Collision Mitigation Braking System, Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, Lane Keep Assist System, Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning dan Auto High Beam.

Kemudiannya, semua varian diberikan terus dengan Vehicle Stability Assist (VSA), ABS, EBD, Emergency Stop Signal (ESS), kamera undur dan empat beg udara. Walaubagaimanapun, varian 1.8 EL dan 1.5 Turbo RS ditambah dengan dua lagi beg udara dan sistem kamera Honda LaneWatch pada cermin sisi.

Selain varian 1.8 E yang cuma mengunakan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lima inci, varian lain pula semuanya dilengkapi dengan skrin lebih besar, bersaiz tujuh inci. Varian paling tinggi iaitu 1.5 Turbo RS kemudiannya ditambah lagi dengan fungsi navigasi, serta lapan pembesar suara (turut diberi kepada 1.5 Turbo dan 1.8 EL). Varian 1.8 E cuma mendapat enam pembesar suara.

Untuk kelengkapan lain, terdapat sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pendingin hawa automatik, tempat duduk larasan kuasa lapan cara (kecuali 1.8 E), tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat cara (Turbo dan Turbo RS sahaja), balutan kulit (kecuali 1.8 E), lampu siang LED, lampu belakang LED dan lampu utama projector (Turbo RS mendapat lampu LED). Varian Turbo RS juga mempunyai lencana khas pada gril dan spoiler belakang yang lebih sporty.

Pelanggan di Thailand dapat memilih lima warna luar untuk Civic facelift ini iaitu Brilliant Sporty Blue Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl. Bahagian kabin pula datang dalam dua warna iaitu beige dan hitam, bergantung kepada warna luar yang dipilih.