Genap tiga tahun yang lalu, Audi memperkenalkan generasi kedua bagi A5 Coupe dan Sportback, kemudian datang pula S5 dan RS5 yang diberikan penjana kuasa hibrid-sederhana yang dipertingkatkan pada awal tahun ini. Kini keseluruhan barisan tersebut telah pun diberi peningkatan, menampilkan wajah dan teknologi baharu.

Bahagian hadapannya menerima gril bingkai-tunggal yang lebih lebar dan menyerlah, didatangkan sama ada dengan kepingan melintang atau pun ‘honeycomb’, bergantung pada model. Malah lampu utamanya juga disemak semula dengan grafik lampu nyalaan siang LED baharu, perumah lampu kabus yang lebih menyerlah disepadukan dengan corong udara, serta bilah tebal yang membentuk bahagian bawah bampar.

Untuk bahagian sisinya pula, kelihatan sill baharu yang membuatkan kereta ini nampak lebih langsing, sementara di belakangnya pula menerima lampu LED dan diffuser baharu dengan corong ekzos trapeziodal yang lebih lebar. A5 didatangkan dengan 12 pilihan warna luaran, dan kesemua varian A5 juga menerima lampu utama LED secara standard. Lampu utama LED Matrix dengan lampu laser serta indikator isyarat ditawarkan secara pilihan.

Di dalamnya, kabinnya juga menerima peningkatan untuk menyesuaikannya dengan perubahan pada Audi A4 2020. Ciri baharu termasuk kokpit maya HD sepenuhnya 12.3-inci dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh ‘freestanding’ 10.1-inci bersama sistem operasi baharu. Fungsi carian MMI kini berasaskan input teks dan kawalan suara.

Sistem navigasi MMI turut menambah fungsi navigasi baharu yang berkeupayaan untuk memberikan saranan laluan berdasarkan pemanduan sebelum ini. Audi connect infotainment service juga ditampilkan (boleh dinaiktaraf berdasarkan langganan tiga-bulan), menawarkan beberapa ciri berasaskan-web termasuk berita terkini, peta Google Earth dan Street View serta penerbangan, cuaca, trafik dan informasi harga bahan api. Paparan head-up ditawarkan secara pilihan.

Untuk enjin, model A5 yang dipertingkatkan ini boleh didatangkan dengan enjin TFSI dan TDI, dengan output dari 163 PS hingga 347 PS. Semua enjin mematuhi piawaian emisi Eudo 6d-temp. Ketika pelancarannya, empat model A5 bakal menerima sistem elektrik hibrid-ringan 12-voltam, sementara S5 TDI pula dipadankan dengan sistem elektrik 48-voltan yang lebih berkuasa. Kedua-dua sistem MHEV ini dikatakan boleh memberikan penjimatan bahan api sehingga 0.4 liter untuk 100 km, dan menawarkan fungsi enjin yang lebih pantas dan lancar.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan atau automatik konvensional (tiptronic) lapan-kelajuan, sementara tiga lagi enjin yang lebih berkuasa bakal menerima pacuan semua-roda quattro secara standard. Untuk mendapatkan sistem AWD, ada kos tambahan yang ditetapkan untuk mana-mana model sederhana.

Untuk pelancaran ini juga, Audi bakal memperkenalkan model edisi istimewa untuk semua model Sportback dan Coupe, yang dilengkapi dengan suspensi sport, kit luaran S line dengan kemasan hitam dan warna luaran khas seperti Quantum gray, Daytona gray dengan efek mutiara, dan hijau metalik. Untuk dalaman, pelanggan boleh memilih antara rekaan pilihan dan pakej S line.