Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

Isuzu Malaysia hari ini telah melancarkan secara rasmi barisan model trak pikap D-Max 2019 untuk pasaran tempatan. Menjadi tumpuan utama tentunya penawaran enjin baru, 1.9L Ddi BluePower yang menggantikan penawaran enjin 2.5L sebelum ini. Dengan pelancaran ini, Isuzu D-Max 2019 juga menjadi trak pikap yang pertama di sini yang menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Di dalam penawaran kali ini, dengan senarai harga tidak termasuk insurans bagi pendaftaran persendirian, pilihan varian adalah seperti berikut; versi Single Cab 4×4 1.9L (RM85,799), Single Cab 4×4 3.0L (RM92,838); lima varian bagi versi transmisi manual – 1.9L 4×2 MT Low Ride (RM80,149), 1.9L 4×2 MT Hi-Ride (RM86,699), 1.9L 4×4 MT Type B (RM96,699), 1.9L 4×4 MT-P (RM105,999) dan 3.0L 4×4 MT Type B (RM106,738).

Bagi versi transmisi automatik pula, ia terdiri daripada empat varian; 1.9L 4×4 AT Type B (RM104,599), 1.9L 4×2 AT Hi-Ride (RM100,049), 1.9L 4×4 AT-P (RM115,799) dan yang terakhir 3.0L 4×4 AT-P (RM120,838). Kesimpulannya, semua sekali terdapat 11 varian berbeza yang ditawarkan kali ini, dan tiada lagi pilihan enjin 2.5L. Berbanding penawaran sebelum ini, harga baru yang diumumkan ini lebih rendah sebanyak RM1k-RM6k, bergantung kepada varian.

Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

Menjadi tumpuan utama sudah tentu penawaran enjin terbaru dengan kapasiti lebih kecil 1.9L Ddi BluePower. Isuzu menyifatkan enjin baru RZ4E-TC 1,898 cc berkenaan adalah lebih besar dengan angka 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm pada 1,800-2,600 rpm berbanding enjin 2.5 liter lama yang menghasilkan sebanyak 136 PS/320 Nm.

Masih kekal dengan sistem suntikan jenis commonrail yang turut diperbaharui berserta empat-silinder dan pengecas turbo VGS, unit ini bagaimanapun kini 56 kg lebih ringan. Prestasi output secara keseluruhannya juga semakin meningkat; 10% lebih berkuasa serta mencatatkan peningkatan tork sebanyak 9%.

Selain itu, Isuzu mendakwa unit ini akan memberikan penjimatan bahan api sebanyak 19% lebih baik (berdasarkan ujian di Thailand) berbanding unit sebelumnya. Ini sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan; Isuzu D-Max seolah-olah ingin menjadikan versi facelift terbarunya ini sangat cekap dari aspek penjimatan, termasuk bagi kos penggunaan serta kos pemilikannya. Ia juga 37% kurang geseran antara komponen dalaman enjin serta lebih senyap.

Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

Dari segi penampilan, terdapat beberapa perubahan yang diperkenalkan. Antaranya ialah rekaan gril krom-hitam baru yang lebih besar dan dilanjutkan ke bahagian lampu utama, lampu utama jenis projektor LED sepenuhnya, rim 17-inci rekaan baru yang sporty, pelekat hiasan baru, terutama bagi varian 1.9L, ciri cermin sisi lipatan automatik serta pilihan untuk mekanisme yang menjadikan pintu ruang barangan di belakang lebih “ringan” dengan tambahan kos RM650.

Di dalam, antara kemaskini yang diberikan ialah rekaan tempat duduk dengan balutan campuran fabrik-kulit baru, panel lembut (soft touch) di beberapa bahagian, serta penggunaan kemasan hitam yang lebih dominan. Dari sudut keselamatan, terdapat dua bantuan terbaru yang disertakan untuk pemandu.

Ciri yang dimaksudkan ialah kawalan menuruni curam (Hill Descent Control, HDC), yang menjadikan situasi menuruni bukit dengan permukaan licin lebih meyakinkan serta Vehicle Launch Assist Control yang meningkatkan tahap tork pada kedudukan curam 25% atau lebih untuk membantu kenderaan mula bergerak.

Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

Sempena pengenalannya, Isuzu Malaysia akan menganjurkan siri jelajah di semua cawangan pengedarnya di mana hadiah misteri menunggu pengunjung yang memandu uji Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power, bermula dari 19 September 2019 hingga 31 Oktober 2019. Bagi pelanggan yang membeli dalam tempoh promosi ini, mereka juga akan menikmati jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh lapan tahun atau 80,000 km, tertakluk kepada terma dan syarat (atau enam-tahun/60,000 km bagi versi single cab). Bagaimanapun, selepas tempoh berkenaan, hanya jaminan standard lima-tahun dan dua-tahun servis percuma akan diberikan.

Mereka juga akan menerima tiket penyertaan cabutan bertuah Blue Fever yang akan diadakan dipenghujung tempoh promosi berkenaan. Isuzu D-Max 2019 didatangkan dengan pilihan warna baru termasuk Sapphire Blue, Red Spinel, Stallion Black, Titan Silver, Silky White Pearl dan Magnum White.

Kami juga sudah memandu uji Isuzu D-Max 1.9L Ddi BluePower di Phuket, Thailand sebelum ini untuk menilai sendiri tahap prestasi dan penawaran yang diberikan oleh enjin baru berkenaan. Anda boleh merujuk laporan pandu uji yang telah kami sediakan untuk maklumat lanjut berkaitan model ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required