Isuzu Malaysia akhirnya bakal memperkenalkan model trak pikap D-Max yang dilengkapi enjin 1.9 liter Blue Power baru pada 18 September ini. Perkara berkenaan dikongsikan ketika sesi pandu uji media bagi model terbaru berkenaan yang berlangsung di Krabi-Phuket, Thailand yang sedang kami sertai ketika ini.

Enjin baru RZ4E-TC 1.9 liter berkenaan, yang terlebih dahulu diperkenalkan untuk pasaran Thailand sejak 2015, bakal menggantikan pilihan enjin 4JK1-TCX 2.5 liter yang digunakan sebelum ini. Bagaimanapun, janaan kuasa yang dihasilkan oleh enjin yang berkapasiti lebih kecil ini sebenarnya lebih banyak, dengan angka 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm pada 1,800-2,600 rpm berbanding enjin 2.5 liter lama yang menghasilkan sebanyak 136 PS/320 Nm.

Masih kekal dengan sistem suntikan jenis commonrail dengan empat-silinder dan pengecas turbo VGS, unit enjin terbaru ini bagaimanapun kini 56 kg lebih ringan berbanding unit yang digantikannya. Dengan enjin baru ini telah memberikan banyak kelebihan kepada prestasi keseluruhannya; 10% lebih berkuasa serta mencatatkan peningkatan tork sebanyak 9%.

Jika ini belum mengujakan anda, bagaimana pula dengan penjimatan bahan api yang didakwa 19% lebih baik (berdasarkan ujian di Thailand) yang mampu dicapai oleh unit terbaru berkenaan? Ini sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan; Isuzu D-Max seolah-olah ingin menjadikan versi facelift terbaru yang akan diperkenalkan ini sangat cekap dari aspek penjimatan, baik bagi kos pemilikan serta penyelenggaraannya.

Satu lagi pembaharuan yang dilakukan ialah pengenalan sistem transmisi automatik enam-kelajuan terbaru dengan kendalian Sequential Shift dan juga versi manualnya. Ia memberikan nisbah yang lebih rapat bagi memanfaatkan sifat enjin baru berkenaan bagi memberikan maklum balas pemanduan yang lebih cekap dan responsif. Kotak gear ini juga menampilkan ciri dua gear overdrive pada kedudukan gear kelima dan keenam.

Dari segi keselamatan, selain daripada ciri yang telah ditawarkan sebelum ini seperti ABS dan EBD, dua beg udara SRS, Brake Assist, Bantuan Mula Mendaki (HSA), kawalan kestabilan serta kawalan cengkaman, penawaran terbaru ini juga turut menerima satu ciri tambaha terbaru; kawalan menuruni curam (hill decent control, HDC).

Bagi Isuzu D-Max 1.9L Blue Power terbaru ini, bukan hanya aspek mekanikal yang menerima pembaharuan dan peningkatan. Rekaan dan penampilannya juga diberik sedikit sentuhan baru yang lebih segar. Sebagai contoh, rekaan bahagian gril telah dikemaskini. Lampu utama pula menggunakan jenis projektor bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED. Kemasan krom disekeliling lampu kabus juga baru.

Selain itu, rim 18-inci yang digunakan juga diberikan rekaan baru. Cermin sisi kini akan terlibat secara automatik sebaik sahaja kenderaan dikunci, dan bahagian sisi ini disudahi dengan pembaharuan dari segi pelekat hiasan yang digunakan. Di belakang, tiada pembaharuang ketara yang diberikan kecuali pelekat hiasan baru serta bahagian lencana baru digunakan. Namun, turut ditawarkan sebagai pilihan ialah ciri tailgate assist yang akan meringan dan memudahkan lagi pengguna untuk menutup pintu ruang barangan di belakang (truck bed).

Bahagian dalam juga tidak ketinggalan untuk menerima beberapa kemaskini. Antaranya ialah penggunaan material soft touch di beberapa tempat seperti pada papan pemuka dan perehat lengan, serta menampilkan kemasan hitam lainnya. Untuk penumpang belakang, terdapat juga pertambahan satu slot USB untuk memudahkan peranti dicas. Terakhir, tidak lupa juga rekaan tempat duduk baru yang menggabungkan material kulit dan fabrik untuk lebih keselesaan.

Ini maklumat awal yang sudah disahkan sebelum pelancaran rasmi Isuzu D-Max 1.9L Blue Power untuk pasaran Malaysia. Terus perhatikan ruang ini kerena kami akan membawakan kemaskini maklumat berkaitan, serta laporan dan video pandu uji model ini dari semasa ke semasa.