Enjin RZ4E-TC 1.9L Ddi BluePower turbo diesel oleh Isuzu bukan hal baru. 2017, D-Max dengan enjin ini sudahpun diperkenalkan untuk pasaran Thailand. Dan, November tahun lalu, unit yang sama juga pernah dipamerkan ketika acara KLIMS18.

Kini Isuzu Malaysia secara rasminya mengesahkan enjin berkenaan akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan, bagi kedua-dua model D-Max dan juga MU-X. Walaupun dengan kapasiti yang lebih kecil, ia mampu menghasilkan 150 hp pada 3,600 rpm dan tork maksimum 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm.

Ini 16 hp/30 Nm lebih berkuasa dan 19% lebih cekap bahan api serta 20% lebih ringan dari enjin 4JK1-TCX 2.5 liter turbodiesel. Ketika ini, ujian fasa akhir sedang dilakukan terhadap enjin berkenaan untuk disesuaikan penggunaannya dengan keadaan di Malaysia dan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi menjelang hujung tahun ini.