Selepas tiga tahun berada dalam pasaran Indonesia, Toyota Calya diberikan pembaharuan. MPV tujuh tempat duduk yang terletak satu tahap di bawah Avanza ini ditawarkan dalam dua varian iaitu E atau G, bersama pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.
Untuk bahagian luar, perubahan utama yang boleh dilihat adalah gril yang bersambung dari atas hingga ke bawah, kemasan menegak di penjuru bampar yang lebih panjang dan menempatkan lampu kabus, cermin sisi yang boleh dilipat serta jalur kemasan belakang yang menyambungkan lampu kiri dan kanan. Rekaan rim juga berubah, namun masih adalah unit 14 inci dengan tayar 175/65.
Perkara yang lebih banyak ditingkatkan pada Calya ini adalah ciri dan kelengkapan. Sekarang, ia boleh didapati dengan lampu jenis LED, skrin infotainmen sesentuh, butang kawalan audio di stereng serta ruang simpanan kecil di bawah tempat duduk dan berhampiran tombol gear.
Rekaan bahagian dalam juga tidak berubah, namun ia menggunakan papan pemuka dua tona serta balutan fabrik dan kemasan yang lebih gelap. Pada bahagian keselamatan, kenderaan ini dilengkapi dengan dua beg udara, pengesan undur belakang, brek ABS dan EBD, cagak Isofix serta kunci immobilizer.
Model yang boleh dianggap kembar dengan Daihatsu Sigra ini masih menggunakan enjin empat silinder 1,197 cc DOHC Dual VVT-i yang berkuasa 88 PS dan 108 Nm tork. Harganya di sana bermula dari 137.4 juta Rupiah (RM40,903) hingga 158.4 juta Rupiah (RM47,155).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.