Apabila kerajaan mengumumkan Program Subsidi Petrol (PSP) untuk golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), ramai yang berpendapat, kenaikan harga RON95 yang bakal berlaku mungkin akan memberikan kesan dan menambah beban rakyat. Harga barangan dan pengangkutan awam bakal naik, begitu juga dengan pelbagai perkhidmatan lain.
Walau bagaimana pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, harga RON95 yang akan diapungkan mulai tahun depan dijangka tidak naik ketara sehingga memberi kesan mendadak kepada rakyat.
Memetik laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, Saifuddin berkata, rakyat yang tidak tergolong sebagai penerima subsidi itu masih boleh menikmati harga petrol berpatutan jika harga mentah minyak dunia berada pada paras antara AS$50 hingga AS$60 setong.
“Saya ingin tekankan bahawa ia (adalah secara) ‘gradual’ (berperingkat). Itu prinsip kita sepakati bagi keseluruhan Jemaah Menteri sebab ketika harga diapungkan nanti, jika kita benarkan lonjakan RM2.50 atau RM2.45, impak ekonominya sukar diperbetulkan. Jadi ‘gradual’ itu apakah satu sen, dua sen atau tiga sen, (harga minyak) bergantung kepada situasi pada bulan Januari (tahun depan). Menjangkakan harga minyak mentah AS$45 ke AS$60 setong, kita sudah boleh membuat ramalan.
“Jadi, selamat untuk saya katakan ‘gradual’ (peningkatan berperingkat) sejajar pelaksanaan program subsidi petrol bersasar tahun depan itu adalah sangat minimum supaya tidak memberi kesan parah kepada rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) di Dewan Rakyat hari ini.
Khairy mengemukakan soalan mengenai mekanisme penetapan harga petrol berperingkat dan kesan kepada inflasi dan adakah kerajaan akan menetapkan harga siling.
Berkenaan dengan Sabah (termasuk Labuan) dan Sarawak yang tidak termasuk dengan PSP ini, Saifuddin berkata, keadaan di sana berbeza dengan Semenanjung.
“Pengangkutan persendirian lazimnya digunakan orang awam adalah kereta dan motosikal, namun keadaan sedikit berbeza di Sabah dan Sarawak kerana terdapat penduduk di sepanjang sungai menggunakan bot kecil sebagai pengangkutan utama.
Bot berkenaan menggunakan enjin sangkut dan menggunakan petrol sebagai bahan api. Terdapat juga penggunaan set generator di kawasan pedalaman. Selain itu, agensi kerajaan juga tiada sumber data utama yang boleh digunakan untuk mengenal pasti pemilik bot serta set generator di kedua-dua negeri berkenaan.
“Oleh kerana penduduk di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak menerima program subsidi ini, maka subsidi pukal RON95 diteruskan pada harga RM2.08 seliter,” ujarnya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-BERSATU Beluran) mengenai hal tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.