Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Selepas trak pikap ini mencecah usia lapan tahun, Isuzu kini memperkenal model generasi ketiga D-Max. Ia diberi pembaharuan yang menyeluruh, tidak hanya melibatkan rekaan luaran dan dalaman, tetapi turut melibatkan perubahan mekanikal.

Dibangun menggunakan konsep “Efficient & Robust”, D-Max terbaru ini didakwa akan memberikan lebih penjimatan bagi penggunaan bahan api serta ciri keselamatan dipertingkat, dan dalam masa yang sama masih kekal versatile untuk memenuhi pelbagai keperluan penggunaan.

Dimensi model baru ini adalah seperti berikut; 5,265 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,790 mm tinggi. Ini menjadikannya 30 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih rendah. Jarak antara rodanya pula kini 30 mm lebih panjang, menjadi 3,125 mm.

Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Penampilan luaran memperlihatkan sentuhan yang lebih agresif berbanding model D-Max sedia ada. Bahagian gril yang besar menjadi antara yang paling ketara. Lampu utama sedikit lebih tipis dan kecil menggunakan teknologi bi-LED, disertai sekali oleh DRL LED bentuk U. Lampu isyarat dan lampu kabus terletak sedikit ke bawah – semua ini hanya pada varian paling tinggi. Untuk varian lain, grilnya lebih kecil, dan rekaan bampar konvensional digunakan.

Di lihat dari tepi, bentuk yang digunakan ini didakwa lebih aerodinamik. Ia telah diuji di terowong angin Institut Kajian Teknikal Keretapi milik Japan Railway (JR). Tambahan lain yang diberikan ialah penggunaan pelindung pada bahagian bawah badan untuk mengurangkan pergolakan udara di bawah trak. Lengkung tayar juga tampil lebih lembut, disokong pula oleh garis bahu pada padannya yang menjadikan trak ini kelihatan lebih tegap.

Di belakang, lampunya menerima pembaharuan, menggunakan perumah lutsinar serta pencahayaan LED dibucu. Bampar pada model spesifikasi paling lengkap ini pula disepadukan sekali pada bahagian ruang barangan untuk nampak lebih kemas. Pilihan rim aloi 18-inci juga baru.

Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Perubahan yang lebih menarik ada di dalam. Tiada lagi rekaan papan pemuka yang ringkas seperti sebelum ini. Rekaan lebih moden dan bersegi digunakan sebagai gantinya. Kualiti material, pemasangan serta binaan juga kelihatan lebih baik – bahagian permukaan papan pemuka seperti menggunakan material soft-touch dengan unsur jahitan.

Bahagian tengahnya dilengkapi dengan susunan hexagonal, yang menempatkan skrin sentuh untuk infotainmen bersaiz sembilan-inci, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Jumlah pembesar suara kini ada lapan, dan konsol tengah antara pemandu dan penumpang dijadikan lebih tinggi dan lebar. Namun, ini hanya pada model paling tinggi; varian lain menempatkan rekaan yang lebih ringkas.

Struktur elektrikalnya juga telah dipertingkat, sebagai persediaan kepada teknologi maju masa depan (perhubungan, autonomous, perkongsian dan elektrifikasi). Bagaimanapun, D-Max terbaru ini masih belum dilengkapi ciri brek kecemasan autonomous (AEB). Antara ciri keselamatan lain yang ada ialah sistem peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang (buat pertama kali ditawarkan), serta enam beg udara dan kawalan kestabilan.

Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Naiktaraf ciri elektronik berkenaan juga membolehkan trak ini dilengkapi dengan pelbagai ciri baru. Sebagai contoh, kunci automatik, penghidup enjin jarak jauh, pra-pencahayaan ketika mendekati kenderaan, kawalan suara dan kawalan pendingin hawa dwi-zon (dengan corong belakang). Ciri lampu dan pengilap cermin automatik juga ada ditawarkan.

Aspek ergonomik dan keselesaan turut menyaksikan perubahan. D-Max terbaru ini antara lain dilengkapi ciri larasan stereng teleskopik, kerusi depan dengan perlindungan bahagian kepala serta kusyen polyurethane MDI untuk mengurangkan keletihan dalam perjalanan jauh. Selain itu, tiang B juga dialih sedikit ke depan untuk memudahkan penumpang belakang keluar dan masuk ke kabin.

D-Max baru ini dibangun menggunakan Isuzu Dynamic Drive Platform. Walaupun masih menggunakan binaan body-on-frame, kerangka ladder yang ada telah diberi banyak penambahbaikan. Antara yang dilakukan ialah meningkatkan penyerapan hentakan dan mengoptimumkan lokasi sentuhan binaan tersebut. Ini tidak hanya menjadikan kerangkanya lebih ringan, tetapi juga lebih kukuh dan selamat. Standard mount badan yang digunakan juga telah ditukar kepada jenis shear mount untuk meningkatkan kestabilan dan mengurangkan kebisingan dan gegaran.

Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Untuk badannya, ia kini menerima lebih banyak bahagian besi lebih kukuh, dengan peningkatan ketegangan antara 30% hingga 40%. Ini menyumbang kepada peningkatan keteguhannya sebanyak 20%, dengan bahagian bumbung yang turut diperkukuhkan, tetapi ringan. Semua penambahbaikan ini juga membolehkan Isuzu untuk memperpanjangkan ruang barangan di belakang bagi semua varian.

Sistem gantungan turut diberi kemaskini ketara. Jenis double wishbones yang digunakan di depan menerima sambungan mount yang lebih tinggi di atas untuk memberikan lebih kestabilan. Leaf spring di belakang pula dikilang menggunakan proses warm stress shot peening tidak hanya menjadikannya lebih tahan, tetapi juga lebih anjal untuk menawarkan keselesaan. Kestabilan turut disumbangkan oleh bahagian belakang kenderaan yang lebih lebar serta sudut mounting untuk penyerap hentak yang dikurangkan.

Stereng juga telah ditala agar lebih mudah dikendalikan. Sudut stereng juga telah ditambah untuk meningkatkan aspek pengendalian, serta radius belokan (turning radius) telah dapat dikurangkan. Cakera brek juga lebih besar, dengan saiz 320 mm berserta kaliper dua-piston di depan. Selain itu, bearing hab pada roda depan telah disepadukan menjadi satu unit bearing sahaja, menjadikannya bebas penyelenggaraan.

Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Kuasa dihasilkan melalui unit enjin yang sama, iaitu 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel – enjin 1.9L ini baru saja diperkenalkan di Malaysia, dengan janaan kuasa yang juga sama; 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm dari 1,800-2,600 rpm. Selebihnya, pada model baru ini, ia menerima nisbah gear yang lebih optimum dan sistem kawalan lebih baik untuk pecutan.

Namun, pada unit 3.0 liter dengan kos baru 4JJ3-TCX, ia menerima lebih banyak peningkatan, diterapkan antaranya dari enjin 1.9 liter yang lebih kecil itu. Ini termasukk kebuk pembakaran yang dibentuk semula, penyuntik bertekanan tinggi, saduran karbon pada pin omboh serta Variable Geometry Turbocharger (VGT) elektronik. Semua ini membolehkannya menghasilkan 190 PS dan 450 Nm – naik 13 PS dan 70 Nm berbanding unit 4JJ1-TCX.

Untuk memperbaiki agihan beban, kedudukan enjin dialihkan sedikit ke belakang gandar depan. Kotak gear automatik dan manual kini menampilkan enam-kelajuan bagi kedua-dua enjin; versi manual datang dengan gear undur jenis pull-ring. Versi 1.9 liter juga menerima torque converter yang lebih kecil dan penyerap hentak sudut-lebar yang disepadukan di dalam klac untuk memberikan lebih maklum balas serta kecekapan minyak.

Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

Model pacuan empat roda turut menerima beberapa peningkatan tambahan, seperti aci aluminium tunggal untuk menjimatkan berat, serta differential lock elektromagnetik di belakang yang membolehkan peralihan pacuan antara dua roda kepada empat roda yang lebih pantas (serta peralihan nisbah rendah kepada tinggi). Kemampuan meredah air adalah pada ketinggian 800 mm.

Isuzu D-Max 2020 terbaru ini akan mula dijual di Thailand pada 19 Oktober ini, dan ditawarkan dalam barisan varian yang luas, dari kegunaan perniagaan hingga pengguna biasa, dengan kabin tunggal dan kabin berkembar. Harganya bermula dari 510,000 baht (RM70,200) hingga 1,164,000 baht (RM160,300). Apa pandangan anda tentang trak pikap ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Ronney G.Sigoh on Aug 01, 2021 at 6:39 pm

    Rgs pemilik Isuzu Gen-2 dan Isuzu D-Max terbaik di Malaysia

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required