Toyota dedah Copen GR Sport dalam bentuk produksi

Toyota dedah Copen GR Sport dalam bentuk produksi

Kami telah melihat sendiri model konsep Daihatsu Copen yang diberi sentuhan oleh sayap perlumbaan Toyota – Gazoo Racing (GR) – ini ketika berlangsung Tokyo Auto Salon 2019 januari lalu, dan kini kei-roadster tersebut telahpun didedahkan dalam bentuk produksi, tanpa sebarang perubahan, digelar sebagai Copen GR Sport.

Tiada sebarang perubahan untuk kuasa pada Copen GR Sport ini, di mana ia masih dijana enjin tiga-silinder 660 cc dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 64 PS dan tork maksima 92 Nm – tiada pengubahsuaian boleh dilakukan sekiranya ia mahu terus dijual sebagai K-Car. Walau pun ia sebuah roadster, Copen masih lagi memacu roda hadapan dengan pilihan sama ada kotak gear CVT automatik (dengan nisbah maya tujuh-kelajuan) atau transmisi manual lima-kelajuan.

Dengan lencana GR Sport, sudah tentu ada talaan prestasi diberikan kepada Copen ini. Badan kereta yang kecil ini dipenuhi pelbagai bar pengukuh di bawahnya – bar bawah hadapan di tambah, manakala bar bawah tengah pula menerima rekaan semula. Badan yang lebih tegap ini kemudiannya disesuaikan dengan talaan semula pada sistem suspensi.

Toyota dedah Copen GR Sport dalam bentuk produksi

Copen GR Sport menerima set penyerap hentak baharu yang direka khas untuknya, bersama set spring gegelung berwarna merah yang menurut Gazoo Racing akan memberikan “pemanduan yang selesa dengan pergerakan melentur”. Stereng berkuasa elektrik pada model istimewa ini juga ditala semula bagi melengkapkan karekteristik baharunya. Sama ada model CVT atau manual, Copen GR diberikan unit LSD sebagai ‘senjata’ standard.

Seperti yang disebut tadi, rupa Copen GR Sport versi produksi ini adalah sama sepenuhnya dengan Copen GR Sport Concept yang muncul di TAS 2019. Jadi ia masih tampil dengan muka sama dengan versi Copen Robe serta mengenakan gril “Functional Matrix” seperti model-model talaan GR yang lain, bersama bampar baharu yang menurut Toyota ia mempunyai kesan aerodinamik yang lebih baik.

Bahagian belakang Copen ini juga lebih agresif dari model standard, dengan diberikan kemasan berwarna hitam yang agak besar pada bampar belakang, berbentuk seperti diffuser serta turut menempatkan dua tip ekzos. Rim BBS kemasan gelap 16-inci dibaluti tayar 165/50R16 yang anda lihat ini juga adalah ciri standard, dan rupa keseluruhannya dilengkapkan dengan berberapa emblem GR dilekatkan pada tempat sepatutnya.

Bahagian kabin Copen GR Sport ini juga dipenuhi pelbagai ‘jajan’ yang begitu mengujakan. Ia hadir standard dengan tempat duduk bucket Recaro dan juga roda stereng balutan kulit dari Momo – kedua-duanya dengan logo GR, dan tidak boleh dibeli dari pengedar barangan aftermarket.

Panel meter juga lebih istimewa dari biasa di mana ia diberikan pencahayaan dan jarum berwarna merah, lengkap dengan logo GR. Secara keseluruhan, kabin Copen ini dimonopoli oleh warna hitam, manakala papan pemuka diberikan kemasan gabungan hitam berkilat dan elemen gentian karbon.

Macam biasa, model-model K-Car istimewa ini dihasilkan hanya untuk pasaran domestik Jepun (JDM). Model dengan kotak gear CVT auto akan dijual pada harga 2.38 juta yen (RM92,088), manakala versi manual beoleh dibeli dengan harga 2.435 juta yen (RM94,221). Roadster comel ini boleh dipilih dalam lapan pilihan warna, dan pembeli perlu mencari jurujual Toyota, dan bukan Daihatsu untuk mendapatkannya.

GALERI: Copen GR Sport Concept di Tokyo Auto Salon 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required