Daihatsu Copen Coupe baharu memang mampu mencuri perhatian dengan kecomelannya, namun ia bukanlah satu-satunya varian bagi kei roadster yang sedang dipertontonkan di Tokyo Auto Show (TAS) 2019. Turut menyertainya ialah Copen GR Sport Concept, yang dibangunkan secara kerjasama dengan Toyota Gazoo Racing (TGR).

Selain daripada lencana GR yang terdapat di merata kereta ini, khusus bagi Copen ini, ia turut mengenakan gril hadapan “Functional Matrix” yang kita boleh saksikan pada sebilangan model Toyota GR di Jepun, dengan diffuser belakang yang besar dan roda aloi BBS 16-inci warna keemasan.


Di dalamnya dipadankan dengan tempat duduk Recaro dan kluster instrumen yang direka semula, dan Daihatsu mendakwa ia juga bekerjasama dengan TRG untuk melakukan talaan terhadap casis dan meningkatkan lagi ketegaran badannya.

Tiada perubahan mekanikal, namun Copen standard dijanakan oleh enjin 660 cc pengecas turbo tiga-silinder seperti peraturan yang ditetapkan bagi kei car, dengan output 64 PS pada 6,400 rpm dan tork 92 Nm pada 3,200 rpm. Ia dipadankan sama dengan CVT tujuh-kelajuan atau kotak gear manual lima-kelajuan.