Selepas iklan acah Volvo S60 terbaru keluar pertama kali untuk pasaran tempatan awal Oktober, kini satu lagi iklan seumpamanya ditunjukkan di laman FB Volvo Car Malaysia (VCM). Ini menjadi petunjuk sahih bahawa model berkenaan akan dilancarkan di sini dalam masa terdekat.
Untuk pasaran global, S60 menjadi model pertama Volvo yang dipasang di Amerika Syarikat, dan pengedarannya bermula pada suku kedua tahun ini. Malaysia pula merupakan hab pemasangan Volvo dirantau ini, jadi kemungkinan S60 di sini akan keluar dari kilang Volvo di Shah Alam, begitu juga untuk pasaran eksport ke Thailand.
Volvo S60 datang dengan dua pilihan, termasuk unit T6 Twin Engine AWD (340 hp/590 Nm) dan T8 Twin Engine AWD (390 hp/640 Nm), yang turut ditawarkan oleh V60. Model versi wagon V60 T8 AWD Inscription juga pernah dikesan di Malaysia, tetapi belum diketahui sama ada model terbabit akan dilancarkan sekali.
Seperti biasa, kumpulan pertama S60 dijangka akan tiba dalam unit import sepenuhnya (CBU). Seperti S90, XC90 dan XC60 sebelum ini, varian T5 (254 hp dan 350 Nm) juga ada kebarangkalian besar akan turut ditawarkan. Untuk perincian lanjut, nantikan pelancaran rasminya kelak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.