Satu lagi sedan membuat penampilan di Singapore Motor Show 2019, S60, mencuri tumpuan umum. Unit pemanduan sebelah-kiri yang ditayangkan ini menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) buatan Volvo, seperti S90 dan XC60. Membuatkan S60 menjadi pesaing rapat dengan Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series dan Audi A4.

Unit yang ditayangkan ini merupakan varian T5 Inscription, dan dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 254 hp dan tork 350 Nm. Dengan unit Drive-E, dipadankan bersama transmisi automatik sumber-Aisin lapan-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

Bagi rekaannya, S60 menampilkan imej yang dibayangi model Volvo baharu, termasuk lampu nyalaan siang LED “Thor’s Hammer” dan lampu belakang seperti S90. Lain-lain elemen termasuk gril enam-poin dan sepasang corong ekzos yang disambungkan ke bampar belakang.

Didatangkan dengan pakej kemasan Inscription, gril hadapannya tampil dengan kepingan menegak tanpa bingkas bersama hiasan krom berhampiran lampu kabus dan jaluran nipis bersambung dengan ekzos. Model ini turut dipadankan dengan roda aloi potongan berlian hitam lima-jejari 19-inci.

Di dalamnya, bentangan papan pemuka juga hampir sama dengan model terbaharu Volvo, dengan kluster instrumen digital 12.3-inci, sistem infotainmen Sensus, Linear Lime inlays dan sistem bunyi Bowers & Wilkins.

Untuk pasaran kita S60 dijangka tiba di Malaysia pada suku ketiga 2019. Malaysia merupakan hub pemasangan serantau Volvo dan S60 akan dipasang di kilang di Shah Alam bagi pengedaran domestik dan turut dieksport ke Thailand, tetapi untuk edaran awal, ia mungkin unit yang diimport (CBU).