Akhirnya Mazda telah mendedahkan kenderaan elektrik sepenuhnya dari mereka, dan ia bukan sedan atau hatchback, tetapi sebuah SUV dalam kategori saiz segmen-C, digelar sebagai MX-30, ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2019 yang bermula hari ini.
Model ini melengkapkan barisan model 3 mereka, dengan menyertai penawaran sedan dan hatchback Mazda 3 dan juga crossover CX-30. Dengan menggunakan platform SkyActiv-Vehicle Architecture yang sama dengan dua model berkenaan, saiz MX-30 ini juga tidak banyak berubah dengan menampilkan dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,570 mm tinggi, dan jarak roda sejauh 2,655 mm.
Bagi membolehkan ia menerima janakuasa elektrik berkenaan, platform tersebut dibuat berberapa perubahan antaranya struktur disekeliling bateri dan juga lantai kereta ini diperkuatkan lagi. Pemadanan bateri lithium-ion yang diposisikan pada lantai juga menyebabkan MX-30 ini 30 mm lebih tinggi dari CX-30.
Jika CX-30 menerima enjin pembakaran dalaman petrol SkyActiv-G dan SkyActiv-X serta diesel SkyActiv-D, MX-30 pula digerakkan oleh penjana dengan kuasa elektrik sepenuhnya digelar e-SkyActiv. Ia terdiri dari motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 141 hp (105 kW) dan tork maksima 265 Nm, disuap oleh bateri dengan kapasiti 35.5 kWj yang mampu memberikan jarak gerak sekitar 209 km untuk satu cas penuh.
Bateri berkenaan dibina dengan sel-sel prismatik yang membolehkan ia di cas semula sama ada menggunakan pengecas AC atau DC. Untuk pengecas AC, ia mampu menerima input maksima 6.6 kWj menerusi sambungan Type 2, manakala pengecas DC pula menggunakan sambungan CCS dengan input 50-kW bagi membolehkan ia mencapai 80% cas dalam masa 30 hingga 40 minit.
Menurut Mazda, menerusi kajian yang dijalankan mendapati pengguna kereta elektrik di Eropah menggunakan kereta mereka dalam jarak purata 50 km setiap hari, dan jarak 209 km tersebut adalah lebih dari cukup walaupun ia dilihat lebih rendah dari pesaingnya yang lain. Namun jika anda mahu bergerak lebih jauh, MX-30 selepas ini akan menerima versi yang dijana sistem hibrid – 100% digerakkan motor elektrik, tetapi menerima janaan elektrik dari enjin range extender jenis wankel rotary.
MX-30 ini juga menerima sistem seakan G-Vectoring Control (GVC) pada model ICE biasa, digelar sebagai e-GVC Plus pada versi elektrik sepenuhnya ini. Menurut Mazda, sistem ini “menggunakan karekteristik tork dari motor elektrik untuk mengoptimakan pemindahan beban depan-belakang di bawah kadar lebih lebar pada senario penggunaan”.
Untuk bahagian luaran, muka MX-30 ini dilihat diberikan elemen rekaan lampu hadapan hampir sama dengan Mazda 3 dan CX-30, tetapi ia diberikan bampar dengan gril yang jauh lebih kecil. Terdapat liang udara tambahan pada bahagian bawah yang dilihat terbahagi kepada dua, manakala kedua-dua hujung diberikan lampu kabus yang direka nipis.
Disebabkan penggunaan motor elektrik yang lebih kompak dari enjin konvensional, bonet MX-30 ini juga dapat direka lebih rendah dan nampak lebih panjang, serta ia nampak sesuai dengan bumbung yang direka landai kebelakang yang nampak seperti sebuah coupe. Segala elemen rekaan nampak lebih menyerlah menerusi warna badan dua tona, dan juga kemasan dengan perkataan “Mazda” yang memisahkan dua warna berkenaan pada asas tiang-D.
Paling mengejutkan, MX-30 diberikan pintu jenis ‘suicide‘ (pintu belakang dibuka terbalik) seperti pada kereta sport wankel rotary Mazda RX-8 yang digelar sebagai “freestyle door”. Jadi, jika anda mahu ke bahagian belakang, pintu hadapan perlu dibuka terlebih dahulu.
Pada bahagian belakang pula, ia menerima lampu belakang sekali lagi agak seiras dengan CX-30, tetapi ia lebih pendek pada bahagian yang terletak pada pintu tailgate. Jika diperhatikan lagi, ada kemasan tambahan yang terletak di atas lampu tersebut, bersambung dengan spoiler bumbung.
Tiada tip ekzos (sudah tentu) pada kereta elektrik ini, jadi tiada kemasan seakan diffuser pada bahagian bawah bampar belakang, namun ia masih menampilkan kemasan bagi meletakkan reflektor-reflektor cahaya dan juga kamera undur bagi mengelakkan ia nampak terlalu kosong.
Selain itu, MX-30 juga diberikan panel-panel pelindung badan pada setiap ruang roda dan bahagian bawah pintu yang berwarna hitam, menambah lagi elemen lasak sebagai sebuah SUV. Rim bersaiz 18-inci dipadankan pada model ini bagi melengkapkan rupanya.
Pada bahagian, MX-30 tampil dengan rekaan lebih tersendiri, terutamanya konsol tengah yang menempatkan tombol gear dan kawalan Commander untuk sistem infotaimen Mazda Connect direka seakan terapung – mungkin kerana kedudukan bateri di bawah lantai. Kawalan untuk sistem pendingin hawa juga kini bercorak digital menerusi skrin bersaiz tujuh-inci, pertama kali untuk Mazda. Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital dan juga roda stereng yang diambil dari model-model Mazda sedia ada.
Kemasan-kemasan uang berwarna perang dalam kabin ini bukanlah kayu mahupun plastik, ia adalah bahan gabus yang sama seperti gabus yang digunakan pada penutup botol minuman keras seperti wain atau jus sparkling. Ini adalah salah satu usaha Mazda kearah lebih mesra alam dengan menggunakan bahan-bahan organik, selain unit janakuasa elektrik yang digunakan pada MX-30 ini.
Menurut Mazda, MX-30 ini akan mula dijual di UK pada 2021 dengan harga di bawah 30,000 pound, tidak termasuk pelbagai insentif yang ditawarkan di negara tersebut.