Jika sebelum ini hanyalah cakap-cakap dalam industri, kali ini Mazda telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka akan membawa semula enjin wankel rotary dalam pasaran, tetapi sebagai enjin penambah jarak atau range extender. Ini merupakan sebahagian dari strategi dan perhubungan Mazda, yang diasaskan dari visi jangka masa panjang ‘Sustainable Zoom-Zoom 2030’.

Sebagai enjin penambah jarak, enjin wankel rotary berkenaan tidak akan dihubungkan kepada kotak gear dan juga gandar, tetapi ia hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri sistem elektrik, seperti ‘generator pasar malam’. Kereta tersebut akan digerakkan oleh motor elektrik sepenuhnya yang bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan bahan api, malah akan menghasilkan tork yang lebih besar. Sistem yang hampir sama telah pun diproduksi Nissan, namun ia menggunakan enjin omboh konvensional pada Nissan Note e-Power.

Mazda percaya enjin pembakaran dalaman (ICE) akan kekal sebagai pilihan majoriti bagi menggerakkan kereta-kereta baharu dalam tahun-tahun mendatang, tetapi dengan teknologi elektrik yang semakin ringan, ia bukan sahaja akan memperhalusi ICE malah turut akan mengurangkan pencemaran karbon dioksida.

Menerusi ideologi ini, Mazda menjangkakan unit janakuasa yang dilengkapi teknologi elektrik akan dibekalkan pada 95% kereta yang dibuat, manakala 5% lagi adalah kenderaan yang hanya dijana oleh kuasa elektrik dari bateri (BEV). Oleh itu, dua kenderaan yang akan dibekalkan bateri akan dibangunkan, di mana salah satunya adalah model yang dijana hanya menggunakan pek bateri.

Model yang akan menggabungkan enjin pembakaran dalaman dan juga teknologi elektrik adalah salah satu model yang disebutkan tadi. Mazda memilih enjin rotary sebagai enjin penambah jarak berbanding enjin omboh konvensional adalah kerana ia lebih kecil, lebih ringan dan juga lebih senyap. Menurut Mazda, enjin rotary mempunyai saiz yang lebih kompak namun menghasilkan kuasa yang lebih besar menjadikan ia sebagai solusi yang ideal, serta turut boleh beroperasi dengan gas LPG.

Seperti namanya, enjin penambah jarak ini bakal memberikan jumlah perjalanan yang lebih jauh walaupun tanpa fasiliti pengecas. BMW i3 adalah contoh model BEV yang ditawarkan sama ada dengan atau tanpa enjin penambah jarak.

Berdasarkan konsep “penjana-ke-roda” (well-to-wheel), Mazda mensasarkan 90% pengurangan pencemaran karbon dioksida dari tahap pada tahun 2010 menjelang 2050 nanti, dan usaha-usaha dalam teknologi elektrik ini akan memastikan ia akan dapat dicapai.

Bagi teknologi-teknologi hubungan pula, Mazda “mensasarkan untuk menginspirasikan orang ramai dan memperkayakan masyarakat” dengan memanfaatkan kerjasamanya dengan Toyota untuk pembangunan akan datang. “Trend baharu dan teknologi dalam hubungan, autonomi, perkongsian dan elektrifikasi akan menawarkan kemungkinan baharu bagi menghasilkan kereta yang lebih menarik,” kata wakil pengarah, presiden dan CEO Mazda Akira Marumoto.

“Dengan menggunakan teknologi baharu berdasarkan falsafah pembangunan berpaksikan manusia kami yang unik, Mazda akan, dalam semangat ‘tidak berhenti untuk mencabar,’ akan terus mengejar keseronokan memandu dan usaha bagi mencipta hubungan emosional dengan pelanggan yang akan bersaing dengan jenama paling kuat di dunia,” tambahnya lagi.