Enjin Wankel Rotary Mazda bakal kembali pada 2019

Enjin Wankel Rotary Mazda bakal kembali pada 2019

Mazda mengesahkan bahawa enjin Wankel Rotary mereka akan membuat kemunculan semula pada pasaran lebih awal dari yang dirancangkan iaitu pada tahun 2019, menurut laporan Automotive News. Namun pengesahan ini bukanlah untuk enjin rotary turbo SkyActiv-R untuk legasi seterusnya kereta sport siri RX, sebaliknya enjin yang digunakan sebagai enjin penambah jarak untuk sistem hibrid yang telah dipatenkan sebelum ini.

Menurut ketua global unit janakuasa Mazda Mitsuo Hitomi, enjin rotary tersebut sangat sesuai digunakan sebagai enjin penambah jarak kerana ia kompak, berkuasa dan menghasilkan gegaran yang jauh lebih rendah berbanding enjin yang beroperasi menggunakan omboh konvensional.

Konsep sistem EV dengan enjin penambah jarak yang digunakan oleh Mazda ini adalah lebih kurang sama yang terdapat pada sistem BMW i3 dan juga Nissan Note e-Power. Untuk sistem binaan Mazda ini, enjin rotari kompak berkenaan diletakkan di bahagian belakang kereta, mengecas bateri lithium-ion yang ditempatkan pada bahagian tengah. Bateri berkenaan akan menjana motor elektrik sistem berkenaan yang diletakkan pada bahagian hadapan kereta, untuk memacu roda hadapan.

Enjin Wankel Rotary Mazda bakal kembali pada 2019

Mazda turut mematenkan sistem start/stop khas untuk enjin rotari berkenaan. Ia sedikit berbeza pada rekaan untuk enjin omboh biasa kerana untuk enjin rotary ini rotor perlu pada kedudukan yang menutup liang kemasukan semasa ia dimatikan. Enjin rotary tidak mempunyai injap seperti enjin omboh dan liang kemasukan ‘dibuka’ dan ‘ditutup’ oleh rotor itu sendiri, jadi rotor perlu menutup liang berkenaan untuk mengelakkan bahan api atau emisi ekzos masuk ke ruang pembakaran.

Paten yang difailkan oleh Mazda ini juga menunjukkan sistem berkenaan akan memberikan percikan api kepada palam pencucuh ketika enjin telah dimatikan untuk melenyapkan baki petrol seterusnya mengelakkan pencemaran. Secara teori, sistem ini telahpun melenyapkan dua kelemahan terbesar enjin rotari iaitu ekonomi bahan api dan juga emisi.

Sistem hibrid dengan kaedah enjin penambah jarak ini agak bersesuai dengan penggunaan di Amerika Syarikat kerana pengguna pada pasaran berkenaan selalunya memandu dengan jarak yang lebih jauh. Sistem ini juga sebenarnya sudah pun didemonstrasikan pada prototaip Mazda 2 RE Range Extender 2013 yang diberikan enjin rotary dengan satu rotor berkapasiti 330 cc.

Mazda RX-Vision 14

Pengesahan ini adalah selari dengan komitmen Mazda bagi menghasilkan kenderaan dengan teknologi elektrik pada kesemua kenderaannya menjelang tahun 2035, dan ia akan dihasilkan dalam pelbagai variasi termasuk hibrid ringan, plug-in hybrid serta elektrik sepenuhnya (EV). Kereta EV dari Mazda dijangka akan muncul dalam pasaran pada tahun 2019, bersama model hibrid yang dijana enjin rotary penambah jarak ini.

Walau bagaimanapun, peminat legasi siri Mazda RX tidak perlu hampa kerana jenama berkenaan masih lagi berminat untuk menghasilkan kereta sport dengan enjin Wankel Rotary tersebut atas sebab ia masih lagi mendapat permintaan dari peminatnya. Hitomi turut mengesahkan Mazda kini sedang membina enjin rotary yang lebih besar dan berkuasa untuk kereta berprestasi tinggi, dan model berkenaan akan diletakkan lebih tinggi dari MX-5.

“Kesemua enjin pembakaran dalam kami akan diberikan teknologi elektrik pada satu-satu tahap – hibrid ringan atau sistem elektrik 48-volt. Jadi ya, teknologi sedemikian akan digunakan pada enjin rotary pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, saya percaya saya mahu untuk memperkenalkan enjin rotary baharu tanpa teknologi elektrik kerana saya pasti ini yang peminat enjin rotary mahukan,” kata Ketua R&D Mazda, Kiyoshi Fujiwara dalam laporan Autoexpress sebelum ini dan mengesahkan kereta konsep baharu yang lain dari model konsep RX-Vision yang akan membuat kemunculan pada Tokyo Motor Show 2017.

GALERI: Mazda RX-Vision

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required