Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

Tidak banyak kereta produksi sebenar seperti Honda Fit/Jazz 2020 diperkenalkan ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show (TMS) 2019, di mana pengeluar lebih berminat untuk menunjukkan halatuju masa hadapan mereka dengan mendedahkan kereta-kereta konsep. Untuk Nissan, pentas mereka di TMS kali ini dibintangi sebuah crossover konsep berkuasa elektrik sepenuhnya digelar Nissan Ariya Concept bagi menandakan jenama tersebut kini masuk ke era seterusnya untuk memperbaharui falsafah serta memperkenalkan arah tuju rekaan baharu mereka.

Ariya dihasilkan menerusi platform kenderaan elektrik sepenuhnya baharu dari Nissan, yang menampilkan dua motor elektrik bagi memacu kesemua roda. Tiada sebarang perincian teknikal seperti kuasa motor, kapasiti bateri, jarak gerak dan sebagainya didedahkan oleh Nissan dan ia hanya diketahui menyokong sistem cas cepat DC CHAdeMO.

Walau bagaimanapun, Nissan ada menyatakan bahawa Ariya Concept berkenaan menampilkan “prestasi mengambil selekoh dan cengkaman yang cemerlang di atas permukaan licin,” dengan pengetahuan yang mereka perolehi dalam pembangunan sistem pacuan semua roda ATTESA E-TS pada Nissan GT-R dan juga sistem 4WD pintar pada Nissan Patrol.

Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

Kereta ini dihasilkan dengan dimensi 4,600 mm panjang, 1,920 mm lebar (tidak termasuk cermin sisi) dan juga tinggi 1,630 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, ia adalah 60 mm lebih pendek, 100 mm lebih lebar dan 110 kurang rendah dari X-Trail, yang membuatkan ia lebih nampak crossover berbanding SUV. Namun Nissan tidak mendedahkan berapa jarak roda sebenar SUV konsep ini.

Rekaan Ariya ini pula dihasilkan dengan tema “Timeless Japanese Futurism”. Muka crossover ini pula menampilkan gril hadapan V-Motion Nissan, bersepadu dengan lampu-lampu isyarat. Ia diapit dengan lampu hadapan yang diberikan empat elemen LED, dihubungkan dengan kemasan berwarna hitam.

Dari sisi, Ariya dapat dilihat tampil dengan garis bumbung yang landai ke belakang, serta nampak gagah dengan rim aloi lima-jejari 21-inci. Dari belakang pula, bentuk bumbung kereta ini sebenarnya nampak seperti membongkok, serta diberikan lampu belakang merentangi sepenuhnya pintu tailgate. Nissan memberikan warna biru lembut kepada model konsep ini yang digelar Suisei Blue.

Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

Bahagian kabin kereta ini turut direka secara minimalis. Selain dari papan pemuka yang ringkas, ia hampir tidak menampilkan sebarang butang dan suis kawalan analog, dan digantikan peralatan sentuhan haptik. Dua skrin 12.3-inci dipadankan pada papan pemuka tersebut dimana unit di belakang roda stereng adalah sebagai paparan instrumen, manakala pada sebelah tengah adalah untuk sistem infotainmen.

Liang udara untuk sistem pendingin hawa dihasilkan sepanjang papan pemuka tersebut, dengan unit kawalan terletak di bawahnya. Menurut Nissan, dengan bateri sistem penjana diletakkan di bawah lantai dan juga penggunaan material yang dipilih secara terperinci, bahagian dalaman Ariya ini dapat direka dengan ruang yang begitu besar.

Nissan Ariya Concept ini turut diberikan sistem bantuan pemanduan ProPILOT 2.0. Sistem berkenaan berhubung terus dengan dengan sistem navigasi membolehkan ia dipandu secara automatik dalam satu lorong dengan roda stereng dilepaskan sepenuhnya pada lebuhraya, dan juga mempunyai sistem Remote Park.

Pelbagai servis terhubung juga dipadankan pada kereta ini, termasuk sistem Navigasi Pintu-ke-Pintu, Pembantu Peribadi Maya, dan juga Perancang Laluan Pintar.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required