Sebagai sebuah jenama yang telah berjaya menambat hati peminat model berprestasi tinggi dan ubahsuai di Amerika Syarikat, Hyundai sudah tentu tidak akan ketinggalan untuk menyertai acara SEMA di Las Vegas tahun ini. Oleh itu, sayap perlumbaan rasmi jenama tersebut, Hyundai N akan membawakan Veloster N yang lebih hardcore, dikenali dengan nama Veloster N Performance Concept.

Namun tidak seperti i30 N Project C yang hadir sebagai model produksi sebenar edisi terhad, Veloster N Performance ini hanya dihasilkan sebagai model konsep, bagi menunjukkan peralatan-peralatan aftermartket yang boleh dipadankan secara bolt-on kepada hatchback berprestasi tinggi berkenaan.

Seperti yang anda lihat, versi istimewa ini menampilkan rupa luaran yang jauh lebih garang. Kereta ini sebenarnya telah menerima kit badan dari KWA, terdiri dari spoiler belakang yang lebih agresif, hud bonet hadapan, bendul sisi dan juga penutup cermin sisi.

Ia juga dilengkapkan dengan serlahan jalur-jalur oren pada bahagian muka, belakang dan sisi, dan penampilannya dilengkapkan dengan pemandanan rim OZ Racing bersaiz 19-inci seperti pada i30 Project C, dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero Corsa.

Pada bahagian dalaman, kereta ini diberikan balutan-balutan Alcantara dan juga ciri-ciri lain juga sama seperti i30 N Project C seperti tempat duduk bucket dari Sabelt, tombol gear yang diperbuat dari brushed aluminium billet dengan bentuk seakan kepala omboh enjin, butang penghidup enjin berwarna merah, serta serlahan-serlahan berwarna oren.

Veloster N Performance Concept ini masih dijana oleh enjin produksi 2.0 liter turbo dengan Performance Package yang menghasilkan 275 hp dan tork maksima 353 Nm. Namun ia turut menerima sedikit sentuhan dengan penukaran sistem ekzos asal kepada sistem cat-back dari Capriso.

Pengendalian Veloster ini turut diolah semula dengan menggantikan suspensi asal kepada set penyerap hentak boleh laras perlumbaan dari Extreme Racing bersama set spring dari H&R. Bar anti oleng hadapan dan belakang turut digantikan dengan unit lebih keras dari Daewoon Steel, manakala ketegaran badan kereta ini turut bertambah dengan pemadanan pendakap-pendakap casis tambahan dari WIF.

Sistem brek turut diberi perhatian di mana angkup-angkup asal kini tidak lagi digunakan bagi memberikan laluan kepada angkup empat-omboh di belakang dan enam-omboh di hadapan, kesemuanya dari Alcon. Ia digabungkan dengan cakera 15-inci di hadapan dan 14.2-inci di belakang, yang masing-masing 1.4-inci dan 1.8-inci lebih besar dari cakera standard versi Performance Package.