TC Euro Cars telah mengumumkan pertambahan terbaru bagi Program Langganan Renault yang kini turut menawarkan model Renault Megane RS 280 Cup. Pelanggan kini berpeluang memandu pulang kereta ini tanpa perlu meletak bayaran pendahuluan dalam jumlah yang besar atau mengambil pinjaman dengan kadar faedah tinggi dalam tempoh yang lama untuk tujuan itu.

Kedua-dua varian RS280 Cup sah untuk program ini, bagi tempoh satu hingga tiga tahun langganan. Pembeli boleh memilih antara Fixed Plan atau Switch Plan.

Pelan kekal lebih teratur, ditawarkan bagi tempoh satu, dua atau tiga tahun. Ia merangkumi kadar bayaran bulanan yang termasuk di dalamnya cukai jalan, insurans dan kos penyelenggaraan biasa bermula pada harga RM3,999 sebulan.

Pelanggan yang memilih pelan tukaran pula akan menikmati akses kepada keseluruhan barisan model Renault tanpa perubahan kadar yang diumumkan sebelumnya. Switch Plan ini menawarkan Renault Captur dengan pilihan untuk penggunan Renault Koleos dan Megane RS 280 Cup dalam tempoh langganan berkenaan.

Selain itu, Switch Plan juga datang tanpa had perbatuan dan tiada denda pembatalan. Semua bayaran adalah termasuk insurans, cukai jalan dan kos servis biasa. Kos alat ganti juga akan dimasukkan sekali di dalam pelan ini.

Megane RS 280 Cup dalam unit terhad kini boleh didapati melalui program langganan. Jika anda berminat, elok disegerakan. Anda boleh melakukan tempahannya di acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 anjuran paultan.org dan ditaja bersama oleh Michelin dan TyrePlus hujung minggu ini. Megane RS 280 Cup turut akan berada di acara ini yang berlangsung dari 2-3 November 2019, dari jam 9 pagi hingga 7.00 malam di Setia Alam Convention Centre.