Penjimatan yang dapat dilaksanakan menerusi Program Subsidi Petrol (PSP) dapat disalurkan bagi menampung kos infrastruktur dan keperluan rakyat yang lain, antaranya pengangkutan awam. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebahagian daripada penjimatan daripada program terbabit boleh digunakan untuk menambahbaik dan menyediakan pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar.
“Saya bersetuju dengan pandangan Dr Muhammed Abdul Khalid (Penasihat Ekonomi Perdana Menteri) bahawa pengangkutan awam di kawasan luar bandar harus diberi lebih perhatian. Malah ia bagi memastikan semua lapisan masyarakat meraih manfaat daripada subsidi pengangkutan kerajaan,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Muhammed berdasarkan pemerhatian beliau bahawa program subsidi petrol sebelum ini tidak memanfaatkan semua golongan dalam kumpulan B40.
Sebelum ini Dr Muhamed yang juga merupakan ahli ekonomi telah menasihati kerajaan agar tidak membelanjakan wang awam untuk mengurang atau menghapuskan tol dan memberi subsidi petrol kerana beliau percaya inisiatif itu tidak akan memberi faedah kepada semua dalam kumpulan B40. Baginya, wang negara itu perlu diperuntukkan untuk menyedia dan meningkatkan pengangkutan awam di kawasan luar bandar, kerana ini akan membantu lebih ramai rakyat miskin.
Menurut Saifuddin, menerusi Belanjawan 2020, pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar juga diberi perhatian dengan peruntukan subsidi kepada pengusaha bas bagi menyokong sambungan ‘last-mile’.
Malahan, katanya, PSP juga mampu mengelak ketirisan dengan menyelamatkan peruntukan subsidi pengangkutan daripada diberi kepada penyeludup petrol, warga asing dan golongan T20 yang menggunakan kenderaan dengan kapasiti enjin serta tangki minyak besar. Pada masa sama, penerima subsidi petrol daripada golongan B40 dan M40 sedia ada terus dilindungi melalui pemberian subsidi petrol kepada mereka menggunakan kaedah yang lebih bersasar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.