Kenapa enjin rasa lebih ‘power’ bila dipandu pada waktu malam, awal pagi atau ketika cuaca sejuk?

Kenapa enjin rasa lebih ‘power’ bila dipandu pada waktu malam, awal pagi atau ketika cuaca sejuk?

Anda perasan tak jika kita memandu pada awal pagi atau ketika waktu malam, enjin kereta anda akan terasa lebih berkuasa dan memberikan respon yang lebih baik? Adakah ini hanya perasaan, atau ia sememangya terjadi? Jawapannya, ya memang pada waktu-waktu seperti itu, enjin kereta anda menghasilkan sedikit lebih berkuasa dari biasa. Tapi, apa penjelasan teknikal berkenaan hal ini?

Sebelum saya terangkan kenapa perkara ini terjadi, ingat lagi teori bagaimana enjin berfungsi dalam artikel bertajuk “Kenapa keluar wap atau air menitik dari tip ekzos?” sebelum ini? Kalau tak ingat, mari saya ulang kembali teori berkenaan.

Enjin berfungsi kerana berlakunya letupan pada kebuk pembakaran yang akan menyebabkan pergerakan turun-naik omboh (piston) untuk memusingkan aci engkol (crankshaft), kemudian kuasa putaran berkenaan dipindahkan ke kotak gear dan akhir sekali ke roda untuk menggerakkan kereta.

Kenapa enjin rasa lebih ‘power’ bila dipandu pada waktu malam, awal pagi atau ketika cuaca sejuk?

Untuk mendapat letupan berkenaan, tiga unsur diperlukan iaitu udara, bahan api (dalam konteks kali ini, khusus kita perkatakan tentang petrol), dan juga percikan api dari palam pencucuh (spark plug). Petrol tidak boleh meletup sendiri jika tidak ada dua lagi unsur lain, dan unsur utama yang diperlukan oleh petrol dari udara untuk meletup adalah oksigen – lebih banyak oksigen, lebih kuat letupan yang dihasilkan.

Secara teori lagi, ketika suhu rendah kadar oksigen dalam udara adalah tinggi; inilah sebab mengapa enjin anda akan terasa lebih bertenaga ketika memandu pada malam, awal pagi dan ketika cuaca sejuk. Sebenarnya bukan hanya lebih ‘power’, kadar penggunaan bahan api juga adalah lebih cekap dan ekonomi jika anda memandu pada waktu-waktu sebegini.

Dengan teori ini jugalah mengapa enjin-enjin yang dibekalkan dengan pengecas turbo diberikan unit intercooler. Dengan intercooler, udara yang disedut dari pengecas turbo dapat disejukkan terlebih dahulu bagi menambah kandungan oksigen dalam udara sebelum ia masuk ke kebuk pembakaran.

Malah ada jentera lumba – kereta-kereta perlumbaan drag biasanya – menggantikan unit intercooler berkenaan dengan ais kering bagi mendapatkan udara yang jauh lebih sejuk. Bagi enjin-enjin tanpa pengecas turbo pula, banyak kit-kit ‘cold air intake‘ dihasilkan oleh pembuat-pembuat barangan aftermarket berprestasi tinggi dan dijual dalam pasaran.

Kit berkenaan biasanya akan datang dengan penuras udara berprestasi tinggi bersama kotak angin khas berfungsi sebagai pelindung haba bagi mengelakkan udara panas dalam ruang enjin berada sekitar penuras udara tersebut. Ada juga kit tersebut yang datang sekali dengan saluran udara dengan ‘mulut’ yang diletakkan pada bampar atau gril hadapan.

Selain dari faktor kadar oksigen yang lebih tinggi ini, satu lagi faktor mengapa anda rasa enjin lebih berkuasa ketika sejuk adalah kerana sistem penghawa dingin. Ini kerana ketika dalam keadaan suhu lebih rendah, suhu kabin yang anda laras akan lebih cepat dicapai oleh sistem penghawa dingin, dan ketika itu pemampat akan dimatikan dengan cara klac magnetik diputuskan dari memutarkan pemampat berkenaan dengan lebih kerap.

Dengan pulley yang berputar tanpa memusingkan sekali pemampat, enjin ada akan berfungsi tanpa beban seolah-olah sistem penghawa dingin berkenaan matikan, sekaligus ‘melepaskan’ sedikit kuasa kuda yang sebelum itu digunakan untuk memutarkan pemampat penghawa dingin tersebut dan memberikan kuasa tambahan pada roda.

Sekarang jelas kenapa anda rasa enjin anda rasa lebih ‘sedap’ dipandu ketika waktu sejuk? Tapi sehingga kini, penulis masih lagi belum tahu apa penjelasan kenapa enjin rasa lebih power lepas kita basuh kereta.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Khairul Anuar on Nov 19, 2019 at 8:53 am

    Lepas basuh kereta.. kereta lebih power kerana ia berasa segar lepas mandi

    Like or Dislike: Thumb up 16 Thumb down 1
  • Lepas basuh kereta berat beban kereta dah kurang sket sebab debu2 dan kotoran dah hilang. Berat juga kotoran yg melekat kat kreta ni….haha

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 2
  • Enjin rasa lebih ringan bila minyak dah isi full tank!

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 3
  • awani on Feb 27, 2022 at 7:58 pm

    lepas isteri turun dari keta, keta rasa pickup n power

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Lokman Ismail on Feb 22, 2023 at 11:18 pm

    Lepas basoh kereta…kesan penyejukan dari air pada blok enjin DPT merapatkan ruang antara blok dan piston ring…jadi ada sikit penambahan feel…pada kuasa enjin..tapi bila dh panas..keadaan balik pada asal

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required