Inilah dia, SUV Audi paling hebat, dikenali sebagai RS Q8. Menurut pengeluar dari Jerman itu, RS Q8 adalah SUV pertama mereka yang dapat memecahkan rekod catatan masa 0-100 km/j di bawah empat saat, dan ia adalah hasil penggunaan enjin V8 petrol 4.0 liter biturbo yang ditala untuk menghasilkan 600 PS dan 800 Nm tork.

Jumlah ini cuma 50 PS dan 50 Nm kurang berbanding Lamborghini Urus, tapi tak langsung tak bermakna RS Q8 ini perlahan. Kuasa yang dihantar kepada semua tayar (Quattro) melalui kotak gear automatik lapan kelajuan boleh membawa kereta ini memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, 0-200 km/j dalam 13.7 saat dan laju maksimum 250 km/j.

Sama seperti model RS yang lain, enjin V8 ini dibantu dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang mempunyai belt alternator-starter disambung kepada crankshaft. Melalui sistem ini 12 kW dapat dijana semula dan ia disimpan dalam bateri lithium ion kompak. Sistem ini juga membenarkan enjin ditutup selama 40 saat waktu meluncur, sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api hingga 0.8 liter bagi setiap 100 km.

Membantu lagi kecekapan penggunaan bahan api, enjin ini dilengkapi dengan sistem Cylinder On Demand (COD), di mana waktu enjin tidak terlalu terbeban, hanya empat silinder sahaja yang akan berfungsi. Bila perlu, barulah kesemua lapan silinder akan bergerak.

Pada kebanyakan masa, kuasa RS Q8 lebih banyak pergi kepada roda belakang, dengan nisbah pembahagian 40:60. Sekiranya terdapat gelinciran, kuasa sehingga 70% boleh dihantar kepada roda hadapan, dan hingga 85% kepada roda belakang. Differential Quattro Sport turut dipasang secara terus, untuk membahagikan tork antara dua roda belakang mengikut keperluan (Active Torque Vectoring).

SUV prestasi ini juga mendapat suspensi udara sport adaptif khas untuk model RS, dengan penyerap boleh dikawal dan boleh naik dan turun sehingga 90 mm. All-Wheel Steering juga datang standard. Pada kelajuan rendah, roda belakang boleh membelok sehingga lima darjah kepada arah bertentangan dengan roda hadapan, manakala pada kelajuan tinggi, ia boleh membelok sehingga 1.5 darjah kepada arah sama dengan roda hadapan.

Keseluruhannya terdapat lapan mod pemanduan pada SUV ini – Comfort, Auto, Efficiency, Allroad, Offroad dan dua mod boleh diubah iaitu RS1 dan RS2. Dua mod terakhir ini boleh diaktifkan melalui butang RS-Mode yang terdapat pada roda stereng, dan melalui semua mod ini, respon enjin, transmisi, stereng, suspensi, bunyi enjin dan pendingin hawa akan berubah.

Untuk bahagian luar, ia menggunakan kit badan khas RS yang lebih agresif, dengan gril hitam, lampu utama Matrix LED, spoiler belakang, skirting dengan klip diffuser, dua muncung ekzos bujur, rim 22 inci dengan tayar 295/40 dan brek cakera 420 mm dengan angkup 10 piston di hadapan. Pilihan warna badan kesemuanya ada sembilan.

Bahagian dalam juga lebih sporty dengan balutan Alcantara hitam, kemasan Aluminum Spectrum, Virtual Cockpit serta tempat duduk RS yang dibalut kulit Valcona. Melalui pakej tambahan RS Design pula, anda akan mendapat jahitan kontras pada kebanyakan bahagian.