Juara Sepang 1000KM (S1K) hujung bulan lalu Mitchell Cheah dan penunggang MotoGP negara Hafizh Syahrin bakal bergandingan untuk memandu Hyundai i30 N TCR Team Engstler, dalam pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 13 hingga 15 Disember ini.
Kedua-dua mereka akan menyertai perlumbaan tersebut atas tiket wild card – pada asalnya diumumkan akan memandu Volkswagen Golf GTI TCR Team Engstler, namun ia telah ditukar kepada Hyundai i30 N TCR.
“Hyundai i30 N TCR dan Engstler Motorsport telah mencapai kejayaan besar untuk 2019 di Asia, memenangi kedua-dua gelaran TCR Asia dan TCR Malaysia. Berlumba atas tiket wild card dalam perlumbaan terakhir untuk WTCR musim ini adalah cara sempurna bagi melengkapkan tahun ini, dan petunjuk yang baik bagaimana bagusnya kereta tersebut di rantau ini,” kata pegawai pemasaran senior Hyundai Motorsport Customer Racing, Andrew Johns.
Mitchell Cheah bukan nama asing dalam dunia TCR kerana selain dari berlumba dalam S1K dan juga siri MCS bersama pasukan Proton R3, dia juga kini berlumba dalam Kejohanan TCR German juga bersama Team Engstler dengan VW Golf GTI TCR. Manakala Hafizh Syahrin juga telah ‘memanaskan badan’ dengan jentera empat roda dengan turut menyertai S1K 2019, memandu Toyota Vios untuk pasukan HI-REV SIC Dream Chaser.
Tahun ini merupakan tahun pertama Malaysia terpilih sebagai penganjur salah satu pusingan dalam WTCR, dan ia akan berlangsung sekali dengan perlumbaan motosikal FIM Endurance World Championship. Pusingan di Sepang ini juga agak unik berbanding pusingan yang dijalankan pada litar lain kerana perlumbaan kedua akan berlangsung pada pukul 6 petang, manakala perlumbaan ketiga akan dijalankan pada waktu malam bermula pukul 8 malam 15 Disember nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.