Negara jiran kita, Thailand memang pantas beralih kepada seberapa banyak cabang penggunaan kenderaan dengan sumber tenaga alternatif. Dan, usaha berkenaan tidak hanya tertumpu kepada kenderaan penumpang sahaja. Terbaru, Pos Thailand juga telah mengambil langkah penting untuk mengurangkan kesan jejak karbon melalui kerjasama dengan Banpu Infinergy untuk menggunakan EV di dalam program percubaan untuk membuat penghantaran di dalam kawasan kota Bangkok.
Barisan kenderaan yang dibekalkan oleh Banpu Infinergy itu termasuk van elektrik dengan jarak pemanduan sehingga 300 km serta kemampuan menampung beban antara 300 dan 700 kg. Van berkenaan ketika ini sedang menjalani ujian di kawasan Khlong Luang di daerah Pathum Thani.
Sementara itu, motosikal EV yang dibekalkan juga kini sedang dalam fasa percubaan di kawasan Samsen Nai, Bangkok. Motosikal ini memiliki jarak perjalanan sehingga 80 km, dan mampu menampung beban dari 30 kg hingga 80 kg.
“Percubaan ini membantu menjimatkan tenaga dan menjimatkan kos penyelenggaraan serta penggunaan minyak. Ini berdasarkan maklumat bahawa van elektrik berkenaan hanya memerlukan 4-6 jam untuk dicas semula, sementara motosikal pula hanya perlukan dua jam. Motosikal itu kemudiannya boleh digunakan untuk tempoh beberapa hari, bergantung kepada jarak laluan,” jelas Naib Presiden Eksekutif Kanan Pos Thailand, Kalong Subsaart.
Selain penggunaan EV di dalam barisan kenderaannya, Pos Thailand juga menjalankan project-project kajian dan pembangunan untuk mempromosi pemuliharaan tenaga di dalam pengangkutan penghantaran pos, termasuk lokasi terbaik untuk pemasangan stesen mengecas EV.
“Selain daripada kerjasama ini, Banpu juga terus menawarkan lebih banyak pilihan kenderaan elektrik yang bersesuaian untuk operasi Pos Thailand, seperti jentera sikal tiga-roda elektrik dan e-troli serta e-trak. Dalam masa sama, kami juga menumpukan perhatian terhadap kajian dan pembangunan dalam usaha untuk menyediakan produk, perkhidmatan dengan inovasi canggih serta teknologi tenaga bersih,” ujar CEO Banpu Infinergy, James Rama Phataminviphas.