Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

Jika anda seorang pelumba Touring Car di Amerika Syarikat, dan tidak mampu untuk membeli jentera perlumbaan Honda Civic Type R TCR yang dihasilkan JAS Motorsport dari Itali, ini ada satu pilihan yang jauh lebih mampu milik – Honda Civic Type R TC yang dibangunkan oleh divisi perlumbaan Honda Amerika iaitu Honda Performance Development (HPD).

Apa beza Type R TCR dan Type R TC ini? Pertama adalah enjinnya. Berbanding jentera TCR yang menerima enjin rombakan penuh dari JAS Motorsport, Civic Type R TC ini masih menggunakan enjin K20C1 ‘standard kilang’ sama seperti FK8 produksi. Namun bagi membolehkan ia bertanding dalam pelbagai kategori dan perlumbaan, HPD menghasilkan sistem bagi memudahkan pasukan untuk menala enjin tersebut untuk menjana kuasa bermula 270 hingga 330 hp.

Untuk memastikan enjin berkenaan mampu bertahan dalam perlumbaan, ia turut dilengkapkan dengan pelbagai liang udara tambahan, radiator lebih efektif dari CSF dan juga penyejuk minyak pelincir tambahan. Sistem ekzos juga diubahsuai dengan pemadanan downpipe dari Borla, manakala tangki petrol asal ditukar dengan tangki 60-liter Pyrotect yang diluluskan FIA, membolehkan petrol diisi semula dengan cepat menerusi sistem aliran tinggi.

Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

Kedua adalah transmisi. Jika Civic Type R TCR JAS Motorsport menerima kotak gear sequential dari X-Trac, Civic Type R TC HPD ini pula masih menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan asal yang sama seperti Type R FK 8 yang dijual di bilik pameran. Namun HPD telah melakukan sedikit rombakan terhadap kotak gear tersebut – ia diberikan gear tiga dan empat yang lebih kuat, manakala LSD asal ditukar menggunakan LSD dari Cusco.

Untuk suspensi pula, kereta lumba ini dibekalkan dengan penyerap hentak perlumbaan boleh laras dari Bilstein bersama spring dari Eibach, serta pelbagai penambahbaikkan lain dibuat oleh HPD. Rim asal 19-inci tidak lagi digunakan, dan ia digantikan dengan rim aluminium 18-inci dari Forgestar.

Bagi menghentikan kereta ini pula, cakera standard hadapan digantikan dengan cakera berdiameter 350 mm Girodisc, dicengkam oleh angkup empat-omboh dari Brembo. Sistem brek ini disejukkan oleh sistem aliran udara yang dihasilkan HPD, dan dibantu hos braided dari Goodridge dan modulator ABS HPD. Brek belakang pula masih dibiarkan standard.

Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

Bahagian luaran jentera dari HPD ini juga tidak menerima kit aerodinamik ekstensif seperti pada jentera binaan JAS Motorsport. Kebanyakkan komponen asal masih dikekalkan, kecuali gril hadapan diberikan unit dengan aliran udara lebih banyak, penutup hud enjin dari material FRP bersama liang tambahan dari J’s Racing dan juga spoiler belakang digantikan dengan spoiler GT bersama sayap boleh laras dari APR Performance.

Seperti jentera lumba lain, segala peralatan tidak diperlukan dalam kabin seperti karpet dan tempat duduk belakang telah dibuang. Ia dilengkapkan dengan set rollcage penuh yang dikimpal terus pada kerangka badan, sistem pemadam api, tempat duduk perlumbaan lengkap dengan tali pinggang enam-poin dari OMP serta roda stereng perlumbaan dengan boss kit mudah-buka.

Turut kelihatan pada kokpit Honda Civic Type R TC ini adalah sistem data logger perlumbaan iaitu AIM MXP 1.2 dan juga Motec C125. Honda Civic Type R TC ini boleh anda miliki pada harga bermula US$89,900 atau sekitar RM372k (model standard Civic Type R FK8 dijual pada harga US$36,300 atau sekitar RM150k pada pasaran Amerika Syarikat).

Walau bagaimanapun, dengan harga yang jauh lebih murah dari Civic Type R TCR JAS Motorsport (bermula US$172k atau sekitar RM712k) yang boleh berlumba dalam mana-mana acara TCR di seluruh dunia termasuk kejohanan WTCR, jentera binaan HPD ini hanya boleh berlumba terhad hanya di Amerika dalam kejohanan seperti SRO Touring Car Americas TC, SCCA T2 dan NASA ST3.

HPD turut mengumumkan bahawa pasukan L.A Honda World Racing adalah pelanggan pertama yang membeli Civic Type R TC tersebut, mempertaruhkan dua jentera dalam siri perlumbaan SRO TC America untuk musim 2020.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required