Jarang-jarang kita dengar cerita tentang DS Automobiles Malaysia. Terakhir, pada Jun tahun lalu ketika jenama itu memperkenalkan model SUV DS7 Crossback. Dan terbaru, nampaknya seperti akan ada satu lagi model yang bakal dilancarkan secara rasmi. Melalui laman Facebook rasminya, model DS3 Crossback sudah mula beri suluh – adakah ini model seterusnya yang akan tiba?

Nampak gayanya, begitulah. Baris ayat yang mengiringi hantara FB itu berbunyai begini; “Ambil langkah meyakinkan ke hadapan. Gayakan semula pesona pemanduan anda dan tampilkan imej yang menonjol di jalanraya. Perhatikan ruang ini. Tahun baru akan tida dengan kelajuan penuh.”

Ditunjukkan pada September 2018, DS3 Crossback merupakan crossover kompak seperti Audi Q2. Dengan penggayaan funky pada DS, dan merupakan model paling kecilnya (4,118 mm panjang, 1,791 mm lebar, 2,558 mm jarak antara roda), ia tampil dengan rekaan sangat berbeza. Antara kelainan termasuk antena “shark fin” pada pintu belakang, meminjam semula sentuhan yang pernah ada pada model lama Citroen DS3.

Di Eropah, DS3 Crossback hadir dengan enjin petrol dan diesel serta versi elektrik E-Tense terbaru. Enjin petrol 1.2L PureTech tiga-silinder datang dalam beberapa versi, dengan janaan 100 PS, 130 PS dan 155 PS. Sementara enjin diesel 1.5L BlueHDi pula dengan pilihan output 130 PS dan 100 PS. Pilihan transmisi pula antara automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan – AWD juga ditawarkan.

E-Tense pula terdiri daripada motor elektrik 136 PS/260 Nm dengan bateri 50 kW lithium-ion di bawah lantai badan kenderaan. Cas penuh dicapai dalam masa lima jam melalui unit 11-kW AC wallbox (Type 2) khusus. Di stesen mengecas awam dengan 100 kW DC fast charger, ia hanya memerlukan 30 minit untuk bateri dicas ke tahap 80%.

Jarak perjalanan dengan kuasa elektrik kereta ini adalah lebih daripada 300 km dengan kitaran WLTP, atau 450 km mengikut protokol NEDC. Dari sudut prestasi, DS3 Crossback mampu melakukan 0-50 km/j dalam masa 3.3 saat dan 0-100 km/j dalam 8.7 saat.