Bersekali dengan pengenalan model Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 untuk pasaran tempatan, Boon Siew Honda turut memperkenalkan model tourer ikonik jenama itu di dalam penampilannya yang terkini, Honda GL1800 Gold Wing 2020. Motosikal ini dijual pada harga RM208,800 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Motosikal besar ini menggunakan enjin 1,833 cc enam-silinder (empat-injap setiap silinder) yang menjana sebanyak 124.7 hp pada 5,500 rpm manakala tork pula sebanyak 170 Nm pada 4,500 rpm. Unit ini dipadankan dengan sistem transmisi DCT. Antara ciri yang ditawarkan ialah Throttle By Wire (TBW) yang menyediakan empat mod tunggangan termasuk di dalam keadaan yang berbeza.

Sistem berkenaan turut berkait dengan ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC), penyerap hentak dan Dual Combined Brake System (D-CBS). Empat mod pemanduan yang dimaksudkan itu ialah TOUR yang lebih mengutamakan keselesaan dan kuasa untuk perjalanan; SPORT untuk memberikan kelebihan dari segi pecutan dengan suspensi yang lebih keras; ECON untuk penjimatan minyak dan terakhir, RAIN untuk tunggangan di dalam hujan. Antara ciri lain yang melengkapinya ialah Integrated Starter Generator (ISG) dan Hill Start Assist (HSA).

Suspensi depan pula menggunakan tetapan jenis double wishbone sementara di belakang menggunakan jenis Pro-Arm; gandingan ini memberikan tetapan suspensi yang progresif dan mengutamakan keselesaan. Tahap serapan hentak juga boleh dilaraskan, dengan spring belakang menggunakan larasan elektrik untuk disesuaikan dengan mod tunggangan yang dipilih.

Ruang kokpit menggunakan paparan TFT-LCD tujun-inci dengan paparan jelas dan mudah dilihat. Tidak ketinggalan, ia lengkap dengan ciri Apple CarPlay. Untuk kemudahan penunggan, ruang barangan yang tersedia juga luas; kotak belakang mampu memuatkan dua helmet penuh dalam satu masa.

Motosikal ini mempunyai berat 380 kg, dengan jarak kelegaan tanah 130 mm. Kapasiti tangki minyaknya ialah 21.1 liter. Brek depan menggunakan cakera 320 mm x 4.5 mm hidraulik dengan kaliper enam-piston lengkap dengan sistem ABS kawalan elektronik. Bahagian depan pula menggunakan cakera 316 mm x 11 mm berliang dengan kaliper tiga-piston serta sistem ABS kawalan elektronik.

Honda GL1800 Gold Wing 2020 ditawarkan dalam satu warna eksklusif Pearl Glare White. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua-tahun atau 20,000 km.