Seperkara lagi yang menarik turut disentuh oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad dalam sidang media bagi tadi ialah berkaitan Dasar Automotif Kebangsaan (atau NAP 2020) yang telah tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Menurut beliau, NAP 2020 kini sudah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk diumumkan. “Ketika ini, saya difahamkan kementerian sedang menetapkan tarikh yang sesuai kerana ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir. Jangkaannya ia akan diumumkan dalam suku pertama tahun ini,” jelas Aishah.
Kali terakhir NAP diberikan penilaian semula ialah pada tahun 2014, ketika itu dengan penekanan terhadap kenderaan EEV. Antara yang dijangka diberi tumpuan bagi NAP terbaru ini nanti ialah kekal terhadap EEV, tetapi kali ini diharap ia lebih merangkum dengan melibatkan dasar-dasar yang jelas berkaitan kenderaan dan teknologi elektrifikasi. Tidak lupa juga hal berkaitan kereta nasional terbaru yang kerap diperkatakan.
Menurut Aishah, versi lengkap NAP 2020 ini tidak jauh berbeza daripada draf akhir seperti yang pernah diberi perhatian dan diperkatakan oleh kerajaan dan MITI sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apapun, sehingga ia diumumkan secara rasmi nanti, barulah kita dapat meneliti perincian demi perincian yang terkandung di dalamnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.