TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

Walaupun kereta-kereta dari Nihon Automotive Technology School (NATS) yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon (TAS) saban tahun hanyalah hasil kerja dari pelajar-pelajar kolej tersebut, mereka ini antara yang menjadi hiburan di acara berkenaan kerana sering tampil dengan idea-idea di luar kotak.

Macam dua kereta tribut kepada bintang filem Fast & Furious, Paul Walker ini. Pada asalnya kami ingat mereka betul-betul potong bumbung Toyota GR Supra yang baru berberapa bulan dalam pasaran dan juga Nissan GT-R R35, tapi sebenarnya kedua-duanya hanyalah sekadar klon!

‘GR Supra’ yang diubahsuai seakan Supra JZA80 Targa Top yang dipandu Brian O’Conner pada filem pertama Fast & Furious yang anda lihat ini sebenarnya adalah sebuah Lexus SC430, atau nama lainnya Toyota Soarer Z40. Walaupun ia adalah klon, tapi ini bukan projek klon sambil lewa.

TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

Bagi menjadikan ia nampak seperti GR Supra sebenar, pelajar-pelajar ini menggunakan banyak komponen asli Supra A90 berkenaan termasuk lampu hadapan dan belakang, bampar hadapan dan belakang dan juga penutup bonet hadapan. Tak cukup dengan itu, Supra palsu ini juga menerima kit badan lebar asli Pandem keluaran Tra Kyoto!

Bagi menandakan ia tribut untuk Supra Paul Walker, Lexus ini diberikan warna oren dan juga grafik badan serta liang bonet hadapan ala-TRD serupa dengan kereta yang tampil pada filem pertama Fast & Furious berkenaan.

Di kabin, papan pemuka asal SC430 masih dikekalkan, tetapi tempat duduk telah ditukar dengan menggunakan tempat duduk bucket dari Bride dan roda stereng Sparco yang dibalut dengan alcantara menggantikan komponen asal. Di belakang tempat duduk pula terdapat tiga tong gas yang nampak seperti tong NOS, tapi melihat aliran paipnya, ia mungkin tangki udara untuk sistem suspensi.

TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

Kereta ini bukan tampil hanya bergaya semata-mata. Pelajar-pelajar NATS jurusan Customize ini juga telah membuang enjin 3UZ-FE 3.0 liter V8 NA asal dari Lexus ini, dan menggantikannya dengan enjin 2JZ-GTE 3.0 liter enam-sebaris turbo dari Supra JZA80.

Enjin tersebut juga nampaknya tidak standard kerana turbin yang digunakan adalah dari jenis turbo tunggal dengan saiz yang lebih besar, bersama Intercooler, radiator dan juga manifold kemasukan aluminium dari Greddy. Berdasarkan tombol gear dalam kabin, enjin tersebut turut digandingkan kotak gear Getrag enam-kelajuan manual asal Supra berkenaan.

Beralih ke ‘R35 Convertible’ disebelahnya pula, ia sebenarnya diasaskan dari Nissan Fairlady 350Z Z33 Convertible. Sama seperti Supra tadi, Fairlady ini dikacukkan dengan lampu serta bampar hadapan dan belakang dari R35 GT-R bersama kit badan lebar Pandem bagi menjadikannya sebuah GT-R Pandem Convertible jadian.

TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

Tribut untuk Paul Walker pada ‘GT-R’ digambarkan menerusi pemilihan warna badan perak dan juga jalur badan berwarna biru yang nampak seperti Nissan Skyline GT-R R34 yang dipandu Brian O’Conner dalam filem kedua F&F iaitu 2 Fast 2 Furious.

Lain sedikit dari projek Supra, Nissan ini diberikan pintu yang dibuka keatas dan bahagian dalaman yang nampak lebih kemas. Lantai kabin kereta ini masih lagi dilitupi karpet manakala papan pemukanya turut diberikan grafik seakan menyamai tema warna luaran. Tempat duduk digantikan dengan tempat duduk bucket Bride bersama tali pinggang Sparco.

Tiada perincian ubahsuai enjin yang dibuat pada kereta ini dan penutup bonet juga tidak dibuka untuk tatapan orang ramai. Jadi kami agak ia masih menggunakan enjin VQ35DE V6 3.5 liter NA asal dari Fairlady 350Z.

TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

Untuk pengetahuan anda, projek-projek pelajar NATS ini akan dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required