Honda City generasi baharu telah muncul buat kali pertama pada peringkat global Oktober lalu, dengan Thailand sebagai pasaran pertama yang menerimanya. Direka bagi membolehkan ia masuk ke segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 yang membolehkan ia menerima insentif potongan cukai istimewa, City di pasaran berkenaan dibekalkan dengan enjin 1.0 liter tiga silinder dengan pengecas turbo yang agak menggiurkan selera pelanggan pasaran lain termasuk Malaysia.
Namun adakah pasaran selain Thai akan menerima City dengan enjin yang sama? Untuk Malaysia, masih lagi tiada pembayang. Namun di Indonesia, pengedar Honda di negara tersebut membayangkan City mungkin akan di jual pada harga tidak masuk akal sekiranya di jana dengan enjin turbo berkenaan.
“Keinginan untuk memasarkannya (enjin 1,000 cc VTEC Turbo) di Indonesia memang ada, tapi bagaimana dengan harganya? Apabila harganya jadi lebih mahal sekitar 30 juta Rupiah, apakah pelanggan masih mahu beli?” kata Yusak Billy, pengarah inovasi perniagaan dan pemarasan jualan Honda Prospect Motor Indonesia kepada laman AutonetMagz.com.
Kegusaran Billy berkenaan sememangnya berasas kerana angka 30 juta rupiah (sekitar RM9k) tersebut sememangnya besar kerana City masih dianggap sebuah sedan dalam segmen low-end di sana, dan faktor harga sememangnya sangat kritikal. Malah jika kita aplikasikannya ke pasaran Malaysia juga nampak tidak logik – adakah anda sanggup membeli sebuah sedan segmen-B dengan harga melebihi RM95k?
Billy turut menerangkan untuk menawarkan enjin turbo dalam pasaran Indonesia bukan masalah besar untuk syarikatnya, tetapi ia kelak akan menimbulkan masalah harga dan segmentasi.
“Jika dipasang di Honda HR-V misalnya, dan terjadi kenaikan harga tersebut, biasanya pelanggan akan terus memilih CR-V. Jadi kami masih pelajari lagi, apa kehendak pasaran, apa kehendak pengguna, kerana kami mencari mana yang sepadan,” jelasnya.
Di Thailand, City generasi baharu ini menerima enjin P10A2 1.0L tiga-silinder VTEC Turbo, bersama kotak gear CVT automatik untuk semua varian. Ia adalah enjin yang sama menjana Honda Civic 1.0L pasaran Eropah, tetapi talaan kuasanya sedikit kurang iaitu hanya 122 PS/173 Nm.
Jadi apa pendapat anda? Adakah anda sanggup membayar lebih untuk sebuah City berkuasa turbo? Atau lebih suka ia dijual pada julat harga sedia ada dengan enjin 1.5 liter i-VTEC yang sama?
Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.