TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 ABS 2020 – berpotensi jadi pilihan yang berbaloi, harga RM9.7k

TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 ABS 2020 – berpotensi jadi pilihan yang berbaloi, harga RM9.7k

Pada sepanjang masa, akan sentiasa ada orang-orang yang baru hendak belajar menunggang motosikal. Tidak kiralah, mereka dari golongan muda yang baru sahaja layak untuk mengambil lesen, ataupun yang sudah berusia tetapi baru terbuka hati untuk merasai pengalaman bersama jentera dua roda.

Kalau mereka mahukan sebuah motosikal yang mudah sudah tentu jawapannya adalah skuter atau kapcai, tapi saya juga selalu menerima soalan apakah motosikal yang sesuai jika mereka mahu membiasakan diri terlebih dahulu sebelum bertukar kepada motosikal yang berkapasiti lebih besar.

Untuk keperluan ini, saya suka mencadangkan motosikal yang mempunyai klac, bersaiz sebenar (kapcai lebih kecil) dan mempunyai tangki di atas. Kalau dulu, jawapan yang selalu saya beri adalah Yamaha FZ150i, tapi sekarang Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sudah tidak mengeluarkan model ini dan yang tinggal dalam pasaran cumalah stok akhir ataupun terpakai.

Motosikal yang menepati ciri ini sudah tidak banyak dalam pasaran, melainkan anda pergi kepada kategori 250 cc yang harganya berada di sekitar RM20k untuk model jenama terkenal. Itupun saya jangka anda tidak akan memilikinya untuk masa lama dan akan terfikir untuk naik taraf kepada model berkapasiti lebih tinggi.

Daripada motosikal jenama Jepun, sekarang cadangan saya bertukar kepada jenama dari India, atau lebih spesifik lagi dari Bajaj. Sejak kerjasama antara syarikat ini terjalin dengan Modenas tiga tahun lalu, kita sudah menerima beberapa model seperti Pulsar RS200, Pulsar NS200, Pulsar NS160 dan V15.

TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 ABS 2020 – berpotensi jadi pilihan yang berbaloi, harga RM9.7k

Sebelum ada yang mempertikaikan kualiti motosikal ini tanpa merasai pengalaman sebenar bersamanya, biar saya beritahu bahawa biasanya kenderaan yang dihasilkan di negara ini lebih mementingkan ketahanan kerana keadaan jalan di sana yang mencabar, dan Bajaj juga bukan calang-calang pengeluar.

Syarikat ini sudah mempunyai kerjasama dengan beberapa jenama besar seperti Kawasaki dan KTM dengan mengeluarkan motosikal kapasiti rendah, dan yang terbaru, Triumph juga sudah menandatangani kerjasama dengan Bajaj untuk tujuan sama. Motosikal kapasiti bawah 750 cc jenama Triumph, keluaran Bajaj akan berada di pasaran menjelang tahun 2022.

Pada tahun 2017, saya pernah mengeluarkan laporan tunggang uji Pulsar NS200, iaitu tidak lama selepas ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Hampir tiga tahun selepas itu, saya diberikan peluang sekali lagi untuk merasai motosikal ini, dalam keadaannya yang terbaru dan dilengkapi dengan brek ABS.

Model dengan naik taraf pada bahagian brek ini dilancarkan Disember tahun lepas pada harga RM9,655 tidak termasuk insurans dan kalau diperhatikan, ia memberi lebih nilai kepada pengguna kerana ada model 150 cc yang terkenal mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding Pulsar NS200 ini.

Sistem ABS yang diperkenalkan pada Pulsar NS200 (Pulsar RS200 pula sudah memang mempunyai ABS sejak awal diperkenalkan) pasaran Malaysia ini sebenarnya cuma pada bahagian hadapan, iaitu sistem one-channel sementara semua bahagian lain motosikal masih tidak diubah. Angkup brek juga masih menggunakan unit Bybre depan dan belakang.

Apabila mempunyai sistem ABS, perkara yang boleh anda lihat dengan jelas adalah cakeranya mempunyai satu lagi gelung di tengah yang bergaris dan terdapat sensor berwayar berhampirannya. Pada NS200 ini, walaupun cuma bahagian depan yang mempunyai ABS, cakera belakang juga mempunyai gelung serta sensor tersebut.

Menurut salah seorang pegawai teknikal Modenas, sensor di belakang juga mempunyai peranan memberikan input dan sekiranya mahu memasukkan ABS kepada brek belakang pada masa hadapan, ia dapat dilakukan dengan mudah. Persoalannya lagi, kenapa tidak diberikan terus ABS two-channel?

Penjimatan kos adalah satu perkara yang boleh dijangka, dan satu lagi jawapan yang saya terima adalah brek hadapan sepatutnya menjadi brek utama yang digunakan untuk kuasa cengkaman yang kuat, termasuk dalam keadaan kecemasan sementara brek belakang pula lebih kepada sokongan dan kelajuan rendah.

Ada beberapa kali waktu sesi tunggang uji NS200 ini, sengaja saya membrek dengan kuat sebelum berhenti di lampu isyarat untuk merasa tindak balas sistem ABS tersebut. Rasa yang dicari adalah seperti anda menarik tuil brek, melepaskannya sekejap dan menarik semula, tetapi dalam keadaan yang lebih pantas – dengan selang masa beberapa milisaat. Itulah cara brek ABS berfungsi.

Tapi tidak dapat pula saya merasainya. Mungkin kerana sistem ini kurang sensitif dan cengkaman masih lagi baik sebab waktu itu cuaca panas dan permukaan jalan agak baik. Sebagai perbandingan, sistem ABS pada Yamaha NVX rasa lebih sensitif dan anda terus boleh mengetahui ia berfungsi walaupun membrek kuat dalam keadaan sama.

TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 ABS 2020 – berpotensi jadi pilihan yang berbaloi, harga RM9.7k

Bagi membuktikan sistem ABS ini sememangnya berfungsi, Modenas ada melakukan satu demonstrasi di atas jalan berpasir, menggunakan NS200 (dua unit, satu dengan ABS dan satu tanpa ABS) yang dipasang dengan penyokong khas supaya penunggang tidak jatuh. Dalam keadaan jalan licin sebegitu, barulah fungsinya jelas kelihatan.

Selain daripada brek, rasa menunggang NS200 ini masih sama seperti dahulu. Antara perkara yang menjadikan ia menarik adalah mudah dikendali, selesa dan mempunyai ergonomik yang baik. Tuil klac rasa ringan untuk ditarik manakala pemegang yang lebih tinggi juga memastikan penunggang boleh mencapainya dengan mudah tanpa terlalu membongkok.

Anda tidak akan merasa beza beban yang jauh antara menunggang motosikal ini dengan kapcai berklac dan kuasa sebanyak 24 hp dan 18.6 Nm tork dirasa memuaskan, berpadanan dengan kapasiti enjin serta saiznya. Enjin satu silinder suntikan bahan api berkapasiti 199.5 cc ini juga dilengkapi dengan teknologi Triple Spark yang menggunakan tiga palam pencucuh.

Secara teorinya, tetapan ini akan menghasilkan pembakaran yang lebih lancar dan penggunaan bahan api yang lebih baik, sementara apa yang dapat saya rasakan pula adalah ia sangat lancar, tidak mempunyai banyak gegaran termasuk pada rpm tinggi (meskipun enjin sudah menjerit) dan menghasilkan pecutan yang cepat. Berkenaan penggunaan bahan api, saya tidak dapat memberikan catatan perjalanan yang dapat dicapai dengan isian penuh tangki 12 liternya kerana sesi tunggang uji ini agak pendek.

Walaupun lebih banyak dirujuk sebagai motosikal permulaan, NS200 masih boleh mencapai kelajuan 140 km/j di atas lebuh raya dan dengan kemampuan seperti ini, anda tidak perlu risau akan menjadi kenderaan paling perlahan di atas lebuh raya. Memotong juga menjadi lebih mudah. Tapi dalam kelajuan tinggi seperti ini, anda harus ingat bahawa NS200 masih adalah sebuah motosikal yang ringan (berat 155 kg) dan pergerakan pemegang juga agak ringan (mungkin perlu diketatkan sedikit lagi atau dipasang damper untuk mereka yang suka membawa laju).

Pergi pula kepada suspensi, saya boleh katakan unit fork teleskopik serta monoshock dengan tabung nitrox pada NS200 ditala lebih kepada keselesaan. Bila dibawa dalam keadaan biasa, anda akan dapat merasa ia menyerap hentakan akibat jalan tidak rata dengan baik dan memberikan ketenangan kepada penunggang. Tapi apabila dibawa lebih laju dan melayan selekoh, anda akan perasan ia masih lembut.

Satu lagi perkara yang saya perasan, tayar MRF yang digunakan pada NS200 ini juga memberikan cengkaman yang baik dalam keadaan jalan kering dan dibelasah melalui jalan berliku dari Teluk Kemang ke Pengkalan Balak. Saiznya adalah 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang. Dalam keadaan jalan basah, saya tidak pasti, tapi kalau anda bercadang mahu tukar kepada jenama lain, pilihannya mungkin banyak kerana menggunakan rim 17 inci.

Bahagian meter motosikal ini menggunakan gabungan penunjuk tahap rpm analog yang besar di tengah, lampu amaran di tepi serta paparan digital untuk kelajuan dan beberapa informasi lain. Cumanya, ia kekurangan penunjuk kedudukan gear, yang dirasakan lebih penting berbanding lampu logo Bajaj itu sendiri ataupun lampu penunjuk waktu menukar gear (shift light).

Sepanjang enam gearnya, anda boleh mengerah enjin sehingga lebih sedikit daripada 10,000 rpm, manakala lampu penunjuk waktu menukar gear itu pula mula menyala pada tahap 9,500 rpm. Sebenarnya untuk mendapatkan kuasa maksimum, anda tidak perlu pun menukar gear pada tahap lebih 10,000 rpm dan menyeksa enjin ini kerana kuasa maksimum hadir pada tahap 9,750 rpm manakala tork maksimum pula pada 8,000 rpm.

Dengan maklum balas yang dinyatakan ini, Pulsar NS200 boleh menjadi antara motosikal yang paling berbaloi untuk dimiliki. Apa yang perlu dilakukan oleh Modenas, harapnya jumlah jualan juga boleh disokong dengan servis selepas jualan yang baik supaya pengguna tidak risau untuk memilikinya. Pada jangkaan kami, ia mungkin boleh dilaksana memandangkan Bajaj adalah antara rakan kongsi mereka yang aktif pada masa ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required