Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat aktiviti perkhidmatan pengiring haram yang memberikan pulangan lumayan sehingga RM1,000, yang bukan sahaja melibatkan orang awam, malah ada juga pegawai dan anggota polis berbuat demikian.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, pihaknya menyedari ada kalangan pegawai dan anggota JSPT yang melakukan iringan haram itu untuk kepentingan diri,

“Kebiasaannya mereka akan melakukannya pada hujung minggu ketika tidak bertugas untuk mencari duit tambahan. Malah anggota ini sanggup menggunakan motosikal PDRM milik kerajaan dan memakai uniform polis ketika menjalankan kegiatan sebagai pengiring haram. Ini masalah dalaman yang kita hadapi apabila mereka membawa orang yang tidak layak mendapat khidmat pengiring,” ujarnya menerusi laporan khas yang disiarkan oleh Harian Metro.

Azisman juga berkata, pihaknya turut mengesan ada segelintir pegawai dan anggota yang mengambil upah untuk mengiringi van mayat dan juga melibatkan golongan kenamaan (VIP) yang tidak mahu tersekat dalam kesesakan lalu lintas serta yang mahu menunjuk-nunjuk. Tidak mendedahkan jumlah pegawai dan anggota yang terlibat, beliau memaklumkan, ada pegawai dan anggota yang terbabit dikenakan tindakan tatatertib dan ada yang dipantau.

Bagi orang awam yang sanggup menipu dengan memakai uniform polis dan mengecat motosikal yang menyerupai motosikal yang digunakan oleh PDRM bagi bertujuan memperdayakan pengguna jalan raya dan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, iaitu menyamar sebagai penjawat awam (polis) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun beserta denda.

Azisman berkata, Bukit Aman juga memandang serius kegiatan ini malah pihaknya bukan sahaja boleh mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut, malah pelanggan terbabit juga boleh dikenakan tindakan yang sama.

“Tindakan mereka membunyikan siren dan meminta pengguna jalan raya lain memberikan laluan juga satu kesalahan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Jelasnya lagi, tugas pengiring hanya boleh dilakukan oleh anggota JSPT dan beberapa agensi lain termasuk ambulans, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bomba, kastam, imigresen dan warden pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mengikut Arahan Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Lalu Lintas Bukit Aman (JSPT) SOP No.11 prosedur atur gerak dan pembuka laluan menetapkan hanya golongan tertentu mendapat perkhidmatan itu,” ujarnya.

Individu tertentu yang layak mendapat iringan iaitu pembesar negara; Yang DiPertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan/Raja, Yang DiPertua (termasuk isteri) Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka, Raja Perempuan, Sultanah dan Tengku Ampuan, Pemangku (termasuk isteri) Sultan/Raja, wakil Sultan/Raja, Raja Muda/Tengku Mahkota, Pengerusi Jemaah Pemangku Raja-raja, Wakil Yang DiPertua Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri/Timbalan Menteri (yang mewakili Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) untuk acara dan fungsi rasmi, dan Undang-undang (majlis rasmi sahaja).

Selain itu, ia turut melibatkan pembesar luar negara termasuk ketua-ketua (termasuk isteri) negara asing, timbalan ketua negara asing, Perdana Menteri negara asing, Timbalan Perdana Menteri negara asing, Menteri negara asing dan Tmbalan Menteri negara asing.

“Nasihat saya supaya berhenti melakukan kerja pengiring haram ini kerana JSPT akan memantau dan mengambil tindakan yang tegas. Orang awam juga diharap boleh membantu merekod video dan gambar mereka yang melakukan kegiatan berkenaan dan kongsikan dengan kami,” katanya lagi.