Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, Hyundai i30 tidak diberikan sebarang perubahan dan masa untuk model facelift sudah tiba. Malaysia tidak menerima model standard hatchback segmen C ini, sebaliknya mendapat versi prestasi i30N yang berspesifikasi lebih tinggi.
Model facelift ini akan diperkenalkan semasa Geneva Motor Show bulan hadapan dan gambar teaser yang disiar melihatkan perubahan yang jelas, termasuk gril lebih besar dengan bentuk seperti Sonata, serta lampu hadapan LED dengan DRL berbentuk seperti panah. Kita juga boleh menjangka perubahan lain pada bahagian bampar serta lampu belakang, dan rekaan rim. Model yang ditunjukkan dalam gambar ini adalah versi N, dan mempunyai bukaan udara yang lebih besar serta sirip di penjuru bampar.
Hyundai juga memberitahu akan terdapat perubahan pada bahagian dalam, termasuk panel instrumen digital dan skrin 10.25 inci lebih besar, seperti yang sudah digunakan pada beberapa model Hyundai dan Kia lain. Model facelift ini juga bakal menyaksikan trim N Line diperkenalkan pada model wagon Tourer, sekaligus menjadikan ia kali pertama ditawarkan untuk semua jenis bentuk badan model tersebut.
Perubahan selain daripada itu dijangka hanyalah sedikit, dan masih menggunakan enjin petrol 1.0 liter dan 1.4 liter, serta diesel turbo 1.6 liter Smartstream. Versi paling tinggi bagi i30 hatchback dan fastback adalah i30N, yang menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo dengan kuasa 275 PS dan 353 Nm tork apabila dipasang dengan pakej prestasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.