VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

Pernah tertanya-tanya, berapa banyak kos untuk selenggara atau servis trak pikap? Sama macam kereta sedan atau SUV? Tak perlu susah-susah, duduk bertenang dan tonton video yang disediakan ini kalau anda berminat nak tahu lanjut berkaitan hal berkenaan.

Dalam video ini, kami pertemukan tiga model paling laris jualannya bagi tahun 2019. Model mana lagi kalau bukan Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger. Semua model ini tidak perlukan pengenalan panjang. Baik bagi mereka yang inginkan sebuah trak pikap untuk keperluan perniagaan mahupun sebagai kenderaan harian, tiga model ini bukanlah asing – masing-masing dengan kelebihan dan kekurangan sendiri.

Dan, untuk video ini, kita hanya akan beri tumpuan kepada kos selenggara atau servis mereka sahaja, bagi tempoh lima-tahun pemilikan atau 100,000 km. Kami juga memilih varian tertinggi untuk semua model iaitu Toyota Hilux 2.8L (RM140,088), Mitsubishi Triton Adventure X 2.4L (RM137,900) dan Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo (RM144,888). Semua model ini adalah dari versi transmisi automatik, dan dipadankan dengan sistem 4WD.

VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu; senggang waktu bagi servis berjadual ketiga-tiga model ini tidak sama. Triton dan Ranger hanya perlu diservis setiap 10,000 km (dengan minyak enjin sintetik sepenuhnya), manakala Hilux pula lebih kerap, iaitu setiap 5,000 km (dengan minyak enjin mineral).

Penukaran minyak gear juga berbeza; pada Hilux ia perlu diganti setiap 80,000 km, Triton pula pada 100,000 km. Untuk Ranger yang dilengkapi kotak gear dengan 10-kelajuan pula, anda tidak akan jumpa dalam jadual lima-tahun pertama kerana ia hanya perlu ditukar setiap 250,000 km, dengan kos penukaran RM721.10.

Jadi berdasarkan jadual yang kami buat di atas berdasarkan jadual rasmi yang diterbit oleh setiap pengeluar, Triton menampilkan jumlah keseluruhan yang paling rendah antara ketiga-tiganya dengan jumlah RM5,903, diikuti oleh Toyota Hilux 2.8L dengan kos RM6,427. Manakala untuk Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo pula, kos sebanyak RM7,347 perlu dikeluarkan dalam tempoh berkenaan walaupun tanpa kos menukar minyak gear.

Tetapi kena juga ambil maklum, perbandingan ini juga hanya tertumpu kepada penyelengaraan semata-mata, tidak termasuk kos pemilikan lain seperti cukai jalan – pemilik Ford Ranger 2.0L tentunya membayar premium yang jauh lebih rendah dari pemilik Toyota Hilux 2.8L.

Dari segi tempoh jaminan pula, Triton ada kelebihan; Mitsubishi Motors Malaysia memberikan waranti pengeluar selama lima-tahun/200,000 km, berbanding Hilux dengan lima-tahun/150,000 km dan Ford Ranger pula adalah tiga tahun/100,000 km.

Semasa menghimpunkan semua data ini, berberapa perkara telah menarik perhatian kami. Jadual yang disediakan oleh Mitsubishi adalah yang paling komprehensif berbanding semua kerana ia menyenaraikan setiap servis yang perlu dibuat dan komponen yang perlu ditukar pada setiap poin.

VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

Harga yang disenaraikan untuk Triton sentiasa lebih tinggi dari Hilux (ada dua sesi perbezaan mencecah RM1,000), tetapi anda juga perlu ingat yang Hilux perlu dihantar servis satu kali ganda lebih banyak berbanding Triton, dan Hilux juga mempunyai satu sesi yang mencecah RM1,247 iaitu pada 80,000 km yang termasuk kos menukar ATF.

Pemilik Ford Ranger mungkin tidak terasa perbezaan harga antara servis kerana setiap sesi tersebut boleh dikata pada purata hampir sama iaitu antara RM571 hingga RM928. Manakala pemilik Hilux perlu lebih peka untuk kos servis seterusnya kerana ada servis yang perlu anda bayar dengan harga serendah RM117, dan ada servis yang mencecah RM1,247 – mungkin akan menjadi kejutan untuk anda jika tidak bersedia.

Semua perincian yang didedahkan ini adalah berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh pengeluar sendiri. Jika anda mahukan perincian lebih teliti, anda boleh menghubungi pusat servis bertauliah setiap jenama tersebut. Jika anda tertanya-tanya kos selenggara antara tiga trak pikap ini yang mana paling murah, data yang kami kumpulkan ini menunjukkan Mitsubishi Triton adalah pemenangnya – tambahan pula ia dilindungi waranti yang paling lama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • afbaha on Feb 16, 2020 at 6:28 pm

    Menarik artikel ni, mohon letak artikel seperti ini tetapi utk kategori suv pula maybe x70 dan yg seangkatan

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required