Kalau dulu trak pikap hanya digunakan untuk kerja-kerja berat, sekarang nampaknya kenderaan sebegini semakin diterima sebagai kenderaan gaya hidup seakan sebuah SUV. Jangan terkejut jika anda terjumpa dengan sebuah trak pikap lengkap dengan rim dan tayar yang lebih besar, tetapi tidak sekali pun pernah jejak ke jalan off-road – ia memang wujud.

Buat anda yang berminat untuk turut serta dalam trend ini, tentunya tertanya-tanya, berapa kos untuk ‘menyara’ trak pikap ni? Jauh beza ke dari kereta atau SUV biasa? Di sini kami senaraikan untuk anda kos penyelenggaraan untuk tiga trak pikap paling popular dalam pasaran iaitu Toyota Hilux, Ford Ranger dan Mitsubishi Triton.

Semua perkara yang kami senaraikan ini adalah kos servis untuk lima-tahun pertama atau 100,000 km. Kami juga memilih varian tertinggi untuk kesemua model iaitu Toyota Hilux 2.8L (RM140,088 untuk Black Edition), Mitsubishi Triton Adventure X 2.4L (RM137,900) dan Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo (RM144,888 untuk Wildtrak). Kesemua model ini adalah dari versi transmisi automatik, dan dipadankan dengan sistem 4WD.

Walau bagaimanapun, ada perkara yang tidak boleh bandingkan terus, misalnya sela masa antara servis di mana Hilux perlu diselenggara setiap 5,000 km atau tiga-bulan kerana hanya menyarankan penggunaan minyak enjin jenis mineral, manakala Triton dan Ranger pula adalah setiap 10,000 km atau enam bulan kerana disarankan untuk menggunakan minyak enjin jenis sintetik sepenuhnya.

Bendalir transmisi automatik (ATF) atau orang kita selalu panggil minyak gear juga berbeza di mana Hilux perlu ditukar setiap 80,000 km, Triton pula pada 100,000 km. Untuk Ranger yang dilengkapi kotak gear dengan 10-kelajuan pula, anda tidak akan jumpa dalam jadual lima-tahun pertama kerana ia hanya perlu ditukar setiap 250,000 km, dengan kos penukaran RM721.10.

Jadi berdasarkan jadual yang kami buat di atas berdasarkan jadual rasmi yang diterbit oleh setiap pengeluar, Triton Adventure X menampilkan jumlah keseluruhan yang paling rendah antara ketiga-tiganya dengan jumlah RM5,903, diikuti oleh Toyota Hilux 2.8L dengan kos RM6,427. Manakala untuk Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo pula, kos sebanyak RM7,347 perlu dikeluarkan dalam tempoh berkenaan walaupun tanpa kos menukar minyak gear.

Apa yang kami nampak, kos untuk menyelenggara ketiga-tiga trak pikap ini adalah lebih kurang sama sahaja, memandangkan harga untuk ketiga-tiganya berada dalam liga RM100,000 ke atas.

Juga, perbandingan ini juga hanya tertumpu kepada penyelengaraan semata-mata, tidak termasuk kos pemilikan lain seperti cukai jalan – pemilik Ford Ranger 2.0L tentunya membayar premium yang jauh lebih rendah dari pemilik Toyota Hilux 2.8L.

Klik untuk besarkan

Namun jika buat perbandingan berkenaan perlindungan waranti, sudah tentu kemenangan berpihak kepada Mitsubishi Triton kerana Mitsubishi Motors Malaysia memberikan waranti pengeluar selama lima-tahun/200,000 km, berbanding Hilux dengan lima-tahun/150,000 km dan Ford Ranger pula adalah tiga tahun/100,000 km.

Semasa menghimpunkan semua data ini, berberapa perkara telah menarik perhatian kami. Jadual yang disediakan oleh Mitsubishi adalah yang paling komprehensif berbanding semua kerana ia menyenaraikan setiap servis yang perlu dibuat dan komponen yang perlu ditukar pada setiap poin.

Harga yang disenaraikan untuk Triton sentiasa lebih tinggi dari Hilux (ada dua sesi perbezaan mencecah RM1,000), tetapi anda perlu ingat Hilux perlu dihantar ke pusat servis sekali ganda lebih cepat dari Triton, dan Hilux juga mempunyai satu sesi yang mencecah RM1,247 iaitu pada 80,000 km yang turut termasuk kos menukar ATF.

Pemilik Ford Ranger mungkin tidak terasa perbezaan harga antara servis kerana harga setiap sesi tersebut boleh dikata pada purata hampir sama iaitu antara RM571 hingga RM928. Manakala pemilik Hilux perlu lebih peka untuk kos servis seterusnya kerana ada servis yang perlu anda bayar dengan harga serendah RM117, dan ada servis yang mencecah RM1,247 – mungkin akan menjadi kejutan untuk anda jika tidak bersedia.

Jadual penyelenggaraan rasmi setiap model – Toyota Hilux (atas kiri), Mitsubishi Triton (atas kanan) dan Ford Ranger (bawah). Klik untuk besarkan

Juga ingin kami ingatkan sekali lagi, apa yang kami dedahkan ini adalah berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh pengeluar. Jika anda mahukan perincian lebih teliti, anda boleh menghubungi pusat servis bertauliah setiap jenama tersebut.

Kesimpulannya, jika anda tertanya-tanya kos selenggara antara tiga trak pikap ini yang mana paling murah, data yang kami kumpulkan ini menunjukkan Mitsubishi Triton adalah pemenangnya – tambahan pula ia dilindungi waranti yang paling lama.

Namun sudah tentu, keputusan dan kepuasan untuk memiliki sesebuah kenderaan bukan hanya bergantung pada kos servis dan selenggara; jadi tepuk dada, dan tanya selera serta jangan lupa semak juga baki akaun bank.